Pages

Wednesday, August 22, 2012

‘Ambillah kereta saya’

LAPOR...Musyrif menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas kereta miliknya dilarikan penjenayah.
LAPOR...Musyrif menunjukkan laporan polis yang
 dibuat selepas kereta miliknya dilarikan penjenayah.

KEPALA BATAS: “Dalam keadaan cemas, saya hanya mampu merayu kepada lelaki itu supaya tidak mengapa-apakan saya dan anak. Jika dia nak ambil kereta, ambillah, tapi tolong lepaskan saya dan anak,” kata Nurul Izzah Khalid, 26, ketika menceritakan detik cemas menjadi ‘tawanan’ 10 minit oleh seorang lelaki yang melarikan keretanya dalam kejadian dekat simpang keluar Kompeks Dato’ Kailan, di sini, Sabtu lalu.
Nurul Izzah ketika ditemui di rumahnya di Pajak Song berkata, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku sebaik suami keluar dari kenderaan untuk membeli ubat anak mereka, Muhammad Qayyum Musyrif, lima bulan yang demam di sebuah farmasi berhampiran, kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, dia baru hendak mengunci pintu kereta, sebelum seorang lelaki tiba-tiba meluru masuk dan terus menekan pedal minyak.
“Saya jadi panik kerana lelaki itu terus memecut laju dan mahu membawa saya dan anak bersama kereta ke Pulau Pinang. Saya menghubungi suami menggunakan telefon bimbit yang masih di tangan bagi meminta bantuan.

“Lelaki itu marah dengan tindakan saya dan bertindak mahu merampas telefon dari genggaman, tetapi tidak berjaya sebelum menarik tangan anak dan mengugut mahu membunuh kami berdua,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Dia yang juga adik kepada Ketua Biro Bernama Perak, Muna Khalid berkata, dalam keadaan cemas itu dia merayu supaya lelaki berkenaan melepaskan dia dan anak.
Mengalah dengan rayuan itu, lelaki berbadan kurus berusia 20-an itu kemudian memberhentikan kenderaan di tengah jalan sebelum menolak mangsa dan anaknya keluar.

Bagaimanapun, Nurul Izzah menyifatkan tindakan lelaki itu tidak bijak dan kemungkinan masih baru dalam ‘bidang’ berkenaan kerana tidak tahu cara membuka kunci kereta.
Lelaki itu juga, katanya, dilihat panik dengan menekan semua butang yang ada sebelum pintu itu dapat dibuka.

Sementara itu, suami mangsa, Musyrif Abu Bakar, 29, yang menyedari kejadian bertindak mencari isterinya dengan bantuan orang ramai yang melihat kejadian itu sebelum menemui anak dan isterinya ditinggalkan 500 meter dari lokasi kejadian.

Musyrif berkata, dia bersyukur kerana isteri dan anaknya selamat walaupun kereta Proton Pesona warna gangsa yang baru dibeli tahun lalu hilang.

Turut dilarikan wang tunai RM200 bersama barangan keperluan hari raya.

Berikutan kejadian itu, laporan dibuat di Balai Polis Kepala Batas. “Seorang rakan memberitahu ada terlihat kereta saya di sekitar Sungai Dua kira-kira jam 6 petang hari kejadian, tetapi sehingga kini kereta itu masih belum ditemui,” katanya yang menyifatkan kejadian itu sebagai pengajaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan masih lagi dijalankan.

No comments: