ALEPPO - Kuasa-kuasa dunia saling menuding jari semalam selepas bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan meletak jawatan sebagai utusan keamanan ke Syria berikutan inisiatif beliau untuk menamatkan pertumpahan darah di negara berkenaan gagal mendapat sokongan yang sepatutnya.
Ketika jet-jet pejuang dikerahkan untuk mengebom pemberontak yang bersenjatakan kereta kebal di sekitar ibu kota komersial negara berkenaan di sini, utusan PBB-Liga Arab itu menyuarakan kekesalan berhubung peningkatan kuasa ketenteraan dalam konflik di Syria yang berlanjutan selama 17 bulan.
Annan turut membidas tindakan saling menuding jari dalam kalangan anggota Majlis Keselamatan PBB. Menurutnya, perkembangan tersebut menghalang satu tindakan bersama dilaksanakan bagi menamatkan keganasan di Syria.
"Saya tidak menerima segala sokongan yang diperlukan untuk menjayakan inisiatif ini," kata Annan pada satu sidang media di Geneva.
"Anda perlu faham bahawa sebagai utusan keamanan saya tidak boleh lebih mementingkan keamanan berbanding Majlis Keselamatan atau masyarakat antarabangsa bagi tujuan ini," tambahnya.
Namun, beliau meramalkan Presiden Syria, Bashar Al-Assad akan tumbang suatu masa nanti.
Peletakan jawatan Annan mencetuskan pertikaman lidah terbaru dalam kalangan lima anggota tetap Majlis Keselamatan dengan Amerika Syarikat menyalahkan Rusia dan China kerana menggunakan kuasa veto untuk membatalkan tiga resolusi PBB berhubung konflik di Syria.
Namun, utusan Rusia ke badan dunia itu, Vitaly Churkin bertegas bahawa Moscow menyokong Annan sepenuhnya manakala Presiden Vladimir Putin menyifatkan perletakan jawatan beliau sebagai sesuatu yang amat dikesalkan.
Kekesalan itu turut disuarakan oleh China. Menurut Beijing, negaranya mahukan PBB memainkan peranan utama dalam menamatkan konflik di Syria.
Terdahulu, beberapa aktivis menyatakan lebih 20,000 orang terbunuh sejak rakyat Syria bangkit menentang rejim Bashar pada Mac 2011.
Sementara itu, keganasan terus berlaku di seluruh Syria dengan pertempuran untuk menguasai bandar raya ini menjadi semakin sengit.
Tentera Bashar kini menggunakan sejumlah jet pejuang untuk mengebom beberapa kawasan yang dikuasai pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).
Pejuang-pejuang FSA pula melakukan serangan balas dengan membedil sebuah pangkalan udara di luar bandar raya ini. Mereka menggunakan beberapa kereta kebal yang dirampas daripada tentera Bashar.
"Kami pernah beberapa kali menyerang lapangan terbang ini tetapi ini kali pertama kami menggunakan senjata berat," kata seorang komander FSA, Abdel Aziz Salameh.
Dalam perkembangan berkaitan, Kumpulan Pemantau Syria Bagi Hak Asasi Manusia melaporkan sekurang-kurangnya 179 orang terbunuh dalam keganasan kelmarin termasuk 14 kanak-kanak, 43 askar dan 26 pemberontak. - AFP
No comments:
Post a Comment