Pages

Saturday, August 4, 2012

Aktivis India henti berlapar

Hazare gagal tarik ramai sokong kempen antirasuah 

NEW DELHI: Aktivis antirasuah India, Anna Hazare, menamatkan mogok laparnya semalam selepas enam hari, apabila gagal menarik sokongan ramai yang menjadi pendorong usahanya setahun lalu. 
Hazare, 75, mengumumkan hasratnya menamatkan mogok lapar itu ketika memberi ucapannya kepada penyokongnya kelmarin di tengah New Delhi, lokasi beliau memulakan tindakannya Ahad lalu. 


Kenyataannya juga memberi petanda kemungkinan beliau memasuki arena politik dengan menyasarkan pilihan raya umum India 2014. 

“Ada lagi dua tahun sebelum pilihan raya diadakan. Kita perlu temui rakyat di seluruh negara dalam masa satu setengah tahun. Mengapa perlu buang masa lakukan mogok lapar,” katanya. 

Bantahan terkini aktivis veteran itu yang mengancam untuk meneruskan tindakannya sehingga mati, bertujuan mendesak kerajaan memperkuat akta antirasuah baru yang menunggu diputuskan menerusi sesi keterangan di depan jawatankuasa Parlimen. 

Kempennya juga menuntut siasatan khas mengenai dakwaan rasuah ke atas 15 menteri termasuk Perdana Menteri, Manmohan Singh. 
Hazare menjadi wira negara Ogos tahun lalu apabila mengetuai bantahan seluruh negara itu yang menyentuh rasuah, pencetus kemarahan rakyat hingga mengejutkan kerajaan campuran pimpinan Singh. 

Ketika mogok lapar selama 12 hari, beliau dianggap sebagai Mahatma Gandhi moden dan memperoleh sokongan ramai di seluruh New Delhi. 

Bagaimanapun, kali ini tidak ramai yang menyertai tindakannya dan semakin jelas kempen itu semakin hilang momentum. 

Media juga kurang memberi kerjasama apabila menyatakan Hazare melampaui batas menuntut Parlimen menerima pandangan kempennya untuk rang undang-undang baru rasuah itu. 

“Kami mahu alternatif politik. Rakyat perlu putuskan siapa perlu diberi dan bagaimana untuk mencapai sistem alternatif,” katanya kelmarin. 

Jurucakap kempen, Aswathi Murlidharan, berkata keputusan masih belum dibuat mengenai parti politik yang perlu disertai. 

“Kami tidak melihat mengenai parti politik buat masa ini,” katanya. 

Hazare dijangka menamatkan mogok laparnya pada jam 5.00 petang waktu tempatan. – AFP

No comments: