Pages

Saturday, August 4, 2012

India mahu lancar misi ke Marikh

Program rancang hantar satelit ke planet Merah 2013 

New Delhi: India merancang menghantar sebuah satelit menerusi pesawat kawalan jauh bagi mengorbit planet Marikh bagi mempelajari geologi dan cuacanya, tahun depan. 
Itu akan membolehkan negara berkenaan menyertai beberapa negara lain yang sudah meneroka planet itu, kata seorang saintis kerajaan, semalam. 


Satu roket akan dilancarkan dari pantai tenggara India bagi meletakkan satelit itu di angkasa lepas dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Marikh, kata saintis itu yang tidak mahu namanya disebut kerana projek itu masih menunggu kelulusan. 

Jurucakap bagi Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) berpejabat di Bangalore enggan mengesahkan misi itu tetapi memberi kenyataan secara umum mengenai cita-cita program angkasa lepas India. 

“Selepas misi berjaya dijalankan bagi meneroka bulan, masyarakat dunia kini memberi tumpuan kepada usaha mencari tempat sesuai untuk kehidupan di Marikh,” kata pegawai ISRO, Deviprasad Karnik. 

Saintis ISRO menjangka satelit berkenaan dapat mengorbit kurang daripada 100 kilometer di ruang udara Marikh. 
Kabinet India dijangka memberi sokongan kepada misi itu yang dianggarkan memakan belanja (RM80 juta), menurut laporan media minggu ini. 

Rancangan itu menyebabkan ada pihak mengkritiknya ketika India masih ada masalah kurang zat makanan yang tinggi selain masalah bekalan tenaga. 

Bagaimanapun, India sudah mengemukakan hujah bahawa teknologi dibangunkan daripada program angkasa lepas mempunyai aplikasi praktikal seharian. 

Program angkasa lepas India bermula pada 1962. Empat tahun lalu, satelitnya, Chandrayaan menemui bukti air di bulan. 

India kini melihat kepada cara memastikan kenderaan beroda dapat mendarat di Bulan pada 2014. 

Apapun, misi itu menandakan fasa baru dalam program angkasa lepas India yang merancang menghantar manusia buat kali pertama ke angkasa lepas pada 2016. 
“Kami akan cuba ke Marikh pula selepas Jabatan Sains memberi lampu hijau kepada misi ke Marikh,” kata Karnik lagi. 

“Roket pelancaran kenderaan Polar Satelit seberat 320 tan akan digunakan bagi membawa roket itu ke pesawat angkasa lepas di orbit. Ia akan dilancarkan dari Sriharikota, wilayah selatan.

No comments: