Pages

Saturday, August 4, 2012

Henti tindas Rohingya: Bakar


JAKARTA: Ulama Islam yang dipenjara, Abu Bakar Bashir mengugut akan melancarkan perang sekiranya Myanmar terus menindas orang Islam Rohingya. Dia berkata demikian dalam suratnya kepada presiden negara itu, Thein Sein seperti yang dipaparkan di laman web, semalam.
Abu Bakar, 74, dianggap sebagai ketua agung Islam radikal di Indonesia, dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun kerana membiayai kumpulan pengganas.
“Kami mendengar umat Islam menjerit di negara anda kerana perbuatan kejam anda... anda mengheret mereka keluar dari rumah dan membunuh mereka,” katanya dalam surat yang bertarikh 22 Julai, yang diedarkan kepada pengikutnya dan dipaparkan di dalam laman web voa-islam.com.

Katanya, “Sekiranya anda mengabaikan seruan ini, demi Allah, anda akan melihat kejatuhan negara yang anda banggakan di tangan tentera Mujahidin.”

Surat itu disahkan sebagai tulen oleh Son Hadi, jurucakap Jemaah Anshorut Tauhid (JAT), kumpulan yang dibiayai oleh Abu Bakar pada 2008 dan dilabel sebagai organisasi pengganas oleh Amerika Syarikat.

Abu Bakar yang lantang menyokong jihad, dijatuhkan hukuman penjara pada 2010 kerana membiayai kumpulan Islam di wilayah Aceh.

Awal tahun ini Mahkamah Tinggi di Indonesia menolak keputusan Mahkamah Rendah untuk mengurangkan tempoh penjara 15 tahunnya.

“Anda perlu tahu umat Islam itu bersaudara. Keperitan mereka adalah keperitan kami. Kesedihan mereka adalah kesedihan kami dan darah yang anda tumpahkan itu adalah darah kami juga,” kata Abu Bakar.

Katanya, “Dengan izin Allah, kami boleh memusnahkan anda dan orang-orang anda.”

Kira-kira 100 pejuang Islam penyokong khalifah cawangan Indonesia daripada organisasi Hizb ut-Tahrir, mengadakan protes di hadapan Kedutaan Myanmar di Jakarta, semalam. - Jakarta Post

No comments: