NEW YORK - Seorang bekas guru di Amerika Syarikat (AS), Irvin Gordon berharap dapat mencatat perjalanan sejauh 4.8 juta kilometer (km) bersama kereta merah kesayangannya, Volvo P1800 keluaran 1966 tidak lama lagi, lapor laman berita chron.com semalam.
Setakat ini, odometer kereta dua pintu itu mencatat jarak perjalanan melebihi 3.2 juta km atau hampir 1,176 pusingan mengelilingi dunia.
Gordon, 72, berharap dapat mencatat jarak 4.8 juta km menjelang tahun hadapan. Warga emas itu cuma perlu memandu sejauh 54,400km lagi untuk melakukan pencapaian tersebut.
"Saya seronok memandu kereta ini," kata Gordon yang membayar $4,150 (RM13,228) untuk kenderaan tersebut pada 30 Jun, 1966.
"Ketika itu, ia bersamaan gaji saya selama setahun," tambahnya.
Gemar melakukan perjalanan jauh, Gordon adalah pemegang Guinness World Record kategori Kenderaan Perbatuan Tinggi sejak 2002 dan merupakan orang pertama yang mencatat rekod tersebut.
Menurutnya, dia mengambil masa 21 tahun untuk mencapai jarak 1.6 juta km dan 15 tahun lagi untuk mencecah 3.2 juta km.
Kini bergelar duda selepas bercerai dengan isterinya, Gordon memandu sekitar 136,000km hingga 160,000km setiap tahun.
Kebanyakan perjalanan itu dilakukan untuk bersiar-siar atau menyaksikan pertunjukan automobil di seluruh AS.
Ditanya sama ada dia akan menukar kereta lama tersebut dengan model baharu, Gordon menyatakan perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
"Kenapa saya perlu menukar kereta ini? Ia ibarat seorang wanita yang baik, anda tidak akan mencari yang lain," ujarnya. - AP
No comments:
Post a Comment