Pages

Monday, July 2, 2012

‘Ikut jejak’ pak cik



IPOH: “Kami sekeluarga tidak menyangka lombong berkenaan kembali ‘meragut’ nyawa seorang lagi ahli keluarga kami dalam tempoh lapan tahun,” kata Normaskana Husain, 37, ibu saudara Muhammad Hanafi Radzi, 10, mangsa lemas di lombong bijih tinggal di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.25 malam di Kampung Seri Rahmat, Pasir Puteh itu, mayat mangsa yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir Puteh ditemui terapung di permukaan lombong oleh pekerja warga Bangladesh yang kebetulan berada di situ.


Sekitar lapan tahun lalu, bapa saudara arwah turut lemas di lombong sama dipercayai tergelincir ketika memancing, malah beberapa nyawa lain turut melayang di lombong berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Normaskana ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) malam kelmarin berkata, dia tidak percaya arwah sanggup ke lombong itu kerana sepanjang pengetahuannya, mangsa tidak pernah mendekati kawasan lombong itu apatah lagi mandi di situ.


Katanya, dia dan ibu arwah, Siti Fatimah Husain, 29, sering menasihatkan arwah supaya tidak mendekati lombong berkenaan selepas kejadian lemas menimpa bapa saudara mereka pada 2005.


“Arwah tidak pernah mendekati kawasan lombong itu sejak kecil biarpun jaraknya dengan rumah kurang 200 meter. Sebelum kejadian, arwah bersama saya ketika menghadiri kenduri tahlil di rumah jiran berdekatan sebelum dia menghilangkan diri jam 5 petang. “Selepas menyedari kehilangan arwah, saya bersama abangnya, Norfitri, 12, keluar mencarinya merata tempat termasuk di padang permainan dan kafe siber, namun gagal menjejakinya sebelum didatangi rakan sekolah arwah yang memaklumkan arwah lemas di lombong,” katanya.



Katanya, dia terus bergegas ke lombong itu sebelum mendapati arwah sudah kaku di tepi lombong sejurus dijumpai pekerja warga Bangladesh berkenaan. Normaskana berkata, dia hairan kerana hanya menemui pakaian dan basikal mangsa di tepi lombong sedangkan rakannya yang lain turut mandi di lombong sama.


Katanya, dia percaya rakan arwah meninggalkannya sejurus melihatnya terkapai-kapai lemas di lombong berkenaan sebelum lemas. “Saya rapat dengannya sejak bayi selepas ibu bapanya bercerai, 10 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, usaha menemu ramah Siti Fatimah gagal kerana dia terlalu sedih dengan kejadian menimpa anak bongsunya itu.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 7.30 malam.


Katanya, sejurus tiba, anggotanya mendapati mangsa meninggal dunia, malah mayatnya sudah dibawa naik ke daratan oleh pekerja warga asing yang bekerja di projek perumahan berhampiran.


“Mayat mangsa dibawa ke HRPB untuk bedah siasat,” katanya.


Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Puteh pagi semalam.

No comments: