Pages

Monday, June 18, 2012

Kedudukan majlis tentera Mesir jadi tanda tanya

KAHERAH 17 Jun - Ketika rakyat Mesir mengundi pada hari kedua pusingan kedua pilihan raya Presiden, persoalan timbul sama ada majlis pemerintah tentera negara ini akan melepaskan kuasa pemerintahan mereka atau tidak selepas pilihan raya itu berakhir.
Ini berikutan ketika pengundian tersebut berlangsung, Mesir masih tidak mempunyai Perlembagaan baru dan Parlimen, berikutan keputusan sebuah mahkamah awal minggu ini mengisytiharkan badan perundangan tertinggi itu yang didominasi pergerakan Islam tidak sah.
Saluran televisyen CNN berkata, dua calon yang bertanding dalam pusingan kedua pilihan raya tersebut juga kelihatan menggambarkan keadaan huru-hara dalam politik di negara ini.
Dua calon tersebut ialah Mohamed Morsi yang disokong Ikhwan Muslimin yang pernah diharamkan dan Ahmed Shafik yang merupakan Perdana Menteri terakhir di bawah pentadbiran bekas Presiden Hosni Mubarak yang digulingkan.
Pusingan kedua pilihan raya tersebut bermula, semalam selepas pilihan raya Presiden pada Mei lalu gagal memberikan mandat jelas kepada calon-calon yang bertanding.
Pos pengundian dibuka pada kira-kira pukul 8 pagi (2 petang waktu Malaysia) dan akan dibuka sehingga 8 malam (2 pagi waktu Malaysia esok).
Undian akan mula dikira esok dengan keputusan akhir dijangka diumumkan Selasa ini. - dpa/AGENSI

No comments: