DUBAI: Sebuah klinik yang dikhaskan untuk lelaki saja dibuka di Dubai dalam usaha menangani masalah mati pucuk dan sakit jantung.
Kementerian Kesihatan Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang bersedia membuka klinik khas pertama itu dengan Pusat Kesihatan Al Muhaisna bagi kesihatan lelaki September ini, juga berharap kemudahan eksklusif itu akan membolehkan golongan berkenaan tampil mendapatkan rawatan yang diperlukan tanpa menghiraukan sebarang stigma sosial.
Ketua Jabatan Urologi di Hospital Al Baraha, Dr Mohammed Kamel, berkata: “Ada kaitan rapat antara mati pucuk dan sakit jantung. Klinik ini turut menyediakan rawatan untuk masalah radang prostat, diagnosis awal barah prostat, masalah kencing di kalangan orang dewasa dan penyakit buah zakar yang berkaitan dengan penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol dan lemak darah.“Ketika tempoh akan datang, akan ada klinik khas untuk kesihatan lelaki pada semua kemudahan kementerian kesihatan yang sama dengan pusat rawatan wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Inisiatif Kementerian Kesihatan bertujuan menggalakkan lelaki diperkenalkan kepada konsep budaya positif dan peranan sosial dalam mengekalkan kesihatan keluarga.
Klinik berkenaan menyediakan rawatan kepada lelaki berusia antara 20 dan 70 tahun dan yang pertama untuk menyelesaikan masalah kesihatan lelaki di rantau berkenaan. – Agensi
No comments:
Post a Comment