Pages

Monday, June 25, 2012

Gempa bumi di China, dua maut

BEIJING 24 Jun - Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.7 pada skala Richter menggegarkan kawasan pergunungan di barat daya China hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan 100 lagi cedera.
Agensi berita Xinhua melaporkan, pusat gempa tersebut dikesan pada kedalaman 9.3 kilometer berdekatan sempadan wilayah Yunnan dan Sichuan kira-kira pukul 4 petang waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia).
Katanya, dua kematian itu masing-masing dilaporkan berlaku di daerah Ninglang dan Yanyuan, namun tiada butiran lanjut diberikan.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu berlaku dengan kekuatan 5.5 pada skala Richter.
Bencana tersebut menyebabkan beberapa rumah musnah terutamanya di kawasan perkampungan dan talian komunikasi terputus.
Pihak berkuasa Yunnan turut menghantar bantuan makanan, termasuk 300 buah khemah ke Ninglang.
Pada Mac tahun lalu, gempa bermagnitud 5.8 menggegarkan wilayah Yunnan, menyebabkan 25 orang maut dan beribu-ribu rumah musnah. - AFP

No comments: