Pages

Monday, June 25, 2012

Penduduk Israel bertempur dengan polis

BAITULMAQDIS 24 Jun - Beribu-ribu penduduk Israel bertempur dengan polis, memecahkan tingkap bank dan menghalang laluan di bandar Tel Aviv semalam dalam satu protes berkaitan penahanan seorang aktivis.
Polis berkata mereka menahan 85 orang dalam protes tersebut, yang diadakan di seluruh negara bagi menuntut pembaharuan sosial dan perumahan mampu milik.
Penunjuk perasaan berkata, mereka marah selepas seorang pemimpin yang menganjurkan bantahan mendakwa dia cedera sewaktu berada dalam tahanan polis berikutan penahanannya dalam satu demonstrasi di Tel Aviv pada Jumaat lalu.
Siaran televisyen tempatan menunjukkan beribu-ribu penduduk berkumpul di bandar itu sejak lewat semalam dan sebahagiannya bertempur dengan anggota polis awal pagi ini.
"Lebih 1,500 penunjuk perasaan melakukan protes di sekitar bandar Tel Aviv sehingga keadaan bertukar ganas dan menimbulkan masalah.
"Mereka turut menghalang lalu lintas dan memecahkan tingkap di lima buah bank," kata jurucakap polis, Micky Rosenfeld.
Pada musim panas lalu, beratus-ratus ribu penunjuk perasaan mengadakan bantahan di seluruh negara, dalam satu kempen menuntut pembaharuan ekonomi dan sosial yang mengejutkan kerajaan.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu kemudian membentuk satu panel yang dipengerusi oleh pakar ekonomi Manuel Trajtenberg, yang menyarankan kenaikan bantuan kebajikan dan pengurangan perbelanjaan pertahanan. - REUTERS

No comments: