Pages

Friday, May 11, 2012

Polis tumpaskan penipuan kad bank



BEBERAPA anggota polis berdiri dekat barang-barang yang dirampas dalam serbuan membanteras sindiket penipuan kad bank di Montreal kelmarin.


MONTREAL - Polis Kanada menumpaskan satu sindiket penipuan antarabangsa yang bertanggungjawab melesapkan sekitar AS$100 juta (RM307 juta) daripada akaun pemilik kad bank di seluruh dunia.
Seorang jurucakap polis Kanada memberitahu kelmarin bahawa 45 orang telah ditangkap dalam beberapa serbuan melibatkan 250 anggota polis di kawasan Montreal, Ottawa dan Vancouver.
Menurutnya, waran tangkap untuk 61 orang yang disyaki terlibat dalam jenayah berkenaan telah dikeluarkan tetapi cuma seorang suspek terdiri daripada rakyat Kanada.
Pihak berkuasa menyatakan rangkaian itu bergerak aktif di Britain, Australia, New Zealand, Malaysia dan Tunisia.
Sindiket berkenaan membahagikan tugas dalam kalangan anggotanya dengan sebahagian mereka pakar dalam merakamkan dan mengubah suai mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Beberapa anggota lain pula mahir mencuri nombor pin kad bank dan menggodam terminal komputer pasar raya manakala konco-konco mereka akan membuat kad ATM palsu untuk mengeluarkan wang secara haram.
Sebahagian kes penipuan itu membabitkan kecurian maklumat kad kredit dan debit dalam komputer mesin pembayaran ketika pengguna melakukan transaksi di restoran dan premis perniagaan lain.
Semua suspek berkenaan akan didakwa kerana menipu, membuat kad palsu dan mencuri identiti orang lain.
- AFP

No comments: