Pages

Friday, May 11, 2012

2 letupan di Damsyik, 40 maut

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


Gambar yang dikeluarkan agensi berita Arab Saudi (SANA) merakamkan beberapa buah kenderaan terbakar akibat dua letupan kuat di Damsyik, semalam. - AFP
BEIRUT 10 Mei - Dua letupan menggegarkan bangunan perisikan tentera di ibu negara Syria hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dan 103 yang lain cedera.
Siaran televisyen Syria dalam laporannya menuduh 'pengganas' bertanggungjawab dalam serangan di selatan Damsyik itu dan turut menyiarkan berpuluh-puluh kenderaan terbakar dan terbalik serta ketulan daging manusia yang bertaburan.
Serangan tersebut berlaku sehari selepas sebutir bom meletup berhampiran pasukan pemantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditugaskan memantau pelan gencatan senjata.
Serangan hari ini juga berlaku kurang dua minggu selepas seorang pengebom berani mati membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang di Damsyik.
Penduduk Damsyik berkata, letupan itu berlaku di kawasan yang sama pada pukul 8 pagi ( 1 petang waktu Malaysia).
Rakaman video amatur yang disiarkan pihak media menunjukkan dua kepulan asap menjulang ke udara, satu daripadanya terbentuk daripada asap tebal.
Stesen televisyen tempatan turut menyiarkan imej kawah besar yang terbentuk dan sekurang-kurang sebuah lori terbalik akibat letupan itu.
Dinding bangunan yang terletak berhadapan dengan kawasan kejadian turut runtuh dan bunyi tembakan turut kedengaran sekali-sekala.
Seorang lelaki yang berada di tempat kejadian menunjukkan ke arah kereta yang musnah sambil sambil menyalahkan Arab Saudi sebagai bertanggungjawab dalam letupan tersebut kerana membiayai kumpulan pemberontak untuk menggulingkan Presiden Bashar al-Assad.
"Adakah ini kebebasan? Ini adalah perbuatan Arab Saudi," katanya. - REUTERS

'via Blog this'

No comments: