Pages

Friday, May 11, 2012

Mayat penumpang Sukhoi ditemui

Foto
FOTO tentera Indonesia menunjukkan serpihan pesawat
 Sukhoi Superjet-100 bertaburan di lereng pergunungan Bogor, semalam.

Cubaan rampas pesawat antara teori punca nahas

CIDAHU: Lima puluh penumpang kapal terbang penumpang baru buatan Russia disahkan maut selepas anggota pasukan penyelamat menemui mayat berhampiran bangkai pesawat berkenaan yang terhempas dekat kawasan gunung berapi di Indonesia ketika melakukan penerbangan ujian bagi menarik pembeli.
Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan cubaan merampas pesawat itu antara punca nahas.
Oleh kerana tempat kejadian terpencil, mayat perlu dimasukkan dalam jaring dan dibawa keluar dengan helikopter. - Gagah Prakoso, Jurucakap agensi mencari dan menyelamat kebangsaan
“Kami belum temui sesiapa yang terselamat tetapi masih meneruskan operasi mencari. Saya tidak dapat cakap apa-apa mengenai keadaan mayat,” kata Prakoso sambil menambah pesawat berkelajuan tinggi itu dipercayai melanggar cerun, meletup dan berkecai.

Pihak berkuasa terputus hubungan dengan Sukhoi Superjet-100 sebaik berlepas dari lapangan terbang di Jakarta membawa wakil syarikat penerbangan Indonesia.

Kebanyakan mangsa adalah eksekutif syarikat penerbangan Batavia Airlines; Pelita Air; Air Aviastar dan Sriwijaya Air selain lima wartawan dan seorang wakil firma pengeluar pesawat Perancis. Tiada warga Malaysia terbabit dalam nahas itu.

Oleh kerana tempat kejadian terpencil, mayat perlu dimasukkan dalam jaring dan dibawa keluar dengan helikopter, kata jurucakap agensi mencari dan menyelamat kebangsaan, Gagah Prakoso. 
Mayat mangsa nahas kelmarin itu diterbangkan ke Jakarta untuk dikenal pasti oleh ahli keluarga.

Ahli keluarga kebanyakan menunggu semalamam di lapangan terbang menangis sebaik mendengar berita mengenai penemuan bangkai pesawat itu.

Pesawat itu berlepas awal tengahari kelmarin untuk melakukan demonstrasi penerbangan.

Kira-kira 21 minit selepas itu, juruterbang dan pembantunya dari Russia meminta kebenaran turun dari ketinggian 3,000 meter ke 1,800 meter.

Pesawat itu kemudian hilang dari radar. Tidak diketahui mengapa krew meminta menukar laluan, katanya terutama apabila mereka terlalu hampir dengan gunung berapi setinggi 2,200 meter itu.

Komunikasi antara juruterbang dan kawalan lalu lintas udara juga disiasat, kata ketua Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan, Tatang Kurniadi.

Lebih 1,000 orang termasuk askar dan polis terbabit dalam usaha mencari dan menyelamat terbabit. Helikopter yang melakukan pemantauan dari udara berhampiran gunung berapi itu menemui bangkai pesawat berkenaan.

Pesawat penumpang pertama buatan Russia sejak kejatuhan Kesatuan Soviet dua dekad lalu, melanggar rabung di Gunung Salak, gunung berapi yang tidak lagi aktif. – Agensi

No comments: