RAMALLAH 10 Mei - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mendesak Israel mendakwa atau membebaskan tahanan Palestin yang melancarkan mogok lapar selepas sekumpulan aktivis mengadakan tunjuk perasaan di luar pejabat pertubuhan itu, di Tebing Barat, semalam.
Desakan itu dibuat melalui jurucakapnya dalam satu kenyataan selepas para aktivis menulis surat kepadanya meminta badan dunia itu bertindak bagi membantu menyelamatkan tahanan Palestin yang berada dalam keadaan kritikal.
“Ki-moon sangat prihatin dengan keadaan kesihatan tahanan Palestin yang melancarkan mogok lapar dalam penjara Israel, yang didakwa pihak itu (rejim Zionis Israel) sebagai penahanan pentadbiran," kata jurucakapnya, Martin Nesirky.
Menurutnya, pemimpin itu turut menyuarakan kebimbangan dengan keadaan tahanan terbabit yang semakin lemah.
“Beliau mengulangi pendiriannya bahawa penahanan tersebut perlu dibuat melalui pendakwaan dan perbicaraan dengan jaminan kehakiman atau dibebaskan segera," katanya.
Berpuluh-puluh penunjuk perasaan mendesak langkah bagi membantu tahanan yang semakin lemah dengan cara menyekat pekerja PBB daripada memasuki pejabat mereka di Ramallah.
Ketika ini, lebih satu pertiga daripada 4,700 tahanan Palestin yang dipenjarakan Israel melancarkan mogok lapar bagi membantah penahanan mereka.
Dua daripada mereka, Bilal Diab, 27, dan Thaer Halahla, 33, melancarkan mogok lapar masuk hari ke-71 hari ini kerana membantah penahanan mereka yang dibuat tanpa pendakwaan.
Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah kelmarin, memberi amaran enam tahanan terbabit berada dalam keadaan kritikal dan meminta pihak Israel membawa mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Namun, sehingga kini, Israel menolak semua rayuan yang dikemukakan tahanan dan menghalang anggota keluarga mengunjungi tahanan. - AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment