Pages

Friday, May 11, 2012

Ban gesa Israel bicara, bebas tahanan Palestin

 RAMALLAH: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon semalam menggesa rejim Zionis membicara atau membebaskan tahanan Palestin yang mogok lapar di penjara Israel.

Gesaan itu dibuat selepas aktivis Palestin mengecam sikap membisunya berhubung perkara itu di luar pejabat badan dunia berkenaan di Tebing Barat.


Puluhan penunjuk perasaan yang menggesa tindakan untuk membantu tahanan yang semakin lemah, menyekat kakitangan PBB daripada memasuki pejabat PBB di Ramallah.

Lebih sepertiga daripada 4,700 warga Palestin yang ditahan rejim Zionis melancarkan mogok lapar sejak beberapa minggu lalu.


Dua daripada mereka, Bilal Diab, 27, dan Thaer Halahla, 33, tidak makan sejak 71 hari lalu kerana membantah penahanan tanpa perbicaraan mereka.


Mereka ditahan di bawah peraturan yang dikenali sebagai penahanan pentadbiran yang membolehkan Israel menahan suspek selama enam bulan. Ban yang mengeluarkan kenyataan menerusi jurucakapnya, menggesa Israel bertindak bagi mengelak keadaan tahanan yang mogok lapar itu daripada bertambah buruk.

“Ban mengikuti perkembangan mengenai mogok lapar oleh tahanan Palestin yang dalam tahanan Israel.


“Beliau mengulangi gesaan supaya Israel membicara atau membebaskan mereka serta-merta,’” kata jurucakapnya, Martin Nesirky. - AFP

No comments: