KOTA BHARU-Seorang pemandu dan kelindan nyaris maut apabila lori yang dipandunya terbalik di bulatan Haji Abdullah, Kampung Kota di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, lori lima tan yang membawa muatan kertas dan barangan runcit menggelongsor sebelum terbalik di jalan tersebut ketika mahu membuat pusingan di bulatan berkenaan.
Pemandunya, Suhaidi Che Wil, 37, berkata, sebelum kejadian lori yang dipandunya dari Jalan Radio Malaysia Kelantan FM berada dalam keadaan baik dan tiba-tiba menjadi tidak seimbang, kemudiannya terus terbalik selepas gagal mengawalnya.
“Kami ketakutan kerana ketika itu asap sudah mula memenuhi ruang tempat memandu, saya bersama seorang lagi rakan merangkak dan memanjat menerusi tingkap untuk menyelamatkan diri.
“Kami ingatkan akan mati terperangkap di dalam lori ini memandangkan enjin mula berasap dan kami berusaha memanjat keluar kerana bimbang kenderaan ini akan meletup,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian kelmarin.
Suhaidi yang berpengalaman sebagai pemandu lori lebih 12 tahun bersama rakannya, Nik Zailani Abdullah, 21, bersyukur kerana terselamat dan tidak cedera.
Sementara itu, Nik Zailani berkata, kejadian tersebut tidak mematahkan semangatnya terus bekerja mencari rezeki yang halal untuk menyara kehidupannya.
Seorang saksi kejadian, dikenali Kak Lah memberitahu dia melihat lori berkenaan bergerak perlahan dan sampai di pertengahan bulatan terbabit muatannya menggelongsor, kemudiannya kenderaan tersebut terbalik.
“Pada mulanya saya menjangkakan pemandunya cedera parah kerana melihat asap keluar dari lori terbabit dan lega setelah kedua-dua lelaki tersebut berjaya memanjat tingkap kenderaan tersebut,” katanya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment