Pages

Saturday, March 17, 2012

Korea Utara lancar roket April

Berita Harian Online | Korea Utara lancar roket April:GAMBAR yang diambil  daripada rakaman video, menunjukkan  sebuah roket sedang berlepas dari  tapak pelancaran di Musudan-ri, Korea Utara,  pada April 2009.
GAMBAR yang diambil daripada rakaman video, menunjukkan sebuah roket sedang berlepas dari tapak pelancaran di Musudan-ri, Korea Utara, pada April 2009.
Tindakan mengejut Pyongyang selepas setuju henti ujian peluru berpandu

PYONGYANG: Korea Utara semalam mengumumkan rancangannya melancarkan roket jarak jauh yang dipasang pada satelit April ini, langkah mengejut yang dibuat beberapa minggu selepas ia bersetuju bertolak ansur dalam isu nuklear termasuk menghentikan sementara ujian peluru berpandu jarak jauh.

Pelancaran itu akan dilaksanakan tepat tiga tahun selepas pelancaran serupa diadakan pada April 2009 yang mencetus kutukan dari Amerika Syarikat, Korea Selatan dan beberapa negara lain, selain ujian teknologi peluru berpandu jarak jauh Korea Utara.

“Pelepasan dijadual diadakan antara 12 dan 16 April dari tapak pelancaran wilayah utara,” kata jurucakap Jawatankuasa Teknologi Angkasa Lepas Korea dalam satu kenyataan kepada media. 

Korea Utara berkata pihaknya akan melancarkan satelit ‘bekerja’ itu bersempena ulang tahun ke-100 kelahiran pengasasnya, Kim Il Sung pada 15 April. Ketika ini, cucu Kim, Kim Jong Un memimpin negara yang dihuni 24 juta penduduk sejak kematian bapanya, Kim Jong Il pada Disember.

Pengumuman dibuat selepas pada bulan lalu Korea Utara bersetuju menggantung kerja pengkayaan uranium, menghentikan sementara ujian peluru berpandu jarak jauh dan nuklear dan membenarkan pemeriksa senjata Amerika kembali dalam pertukaran dengan bahan yang paling dikehendaki iaitu bantuan makanan. 

Pengkayaan uranium adalah satu cara untuk membantu membuat bom atom. Sebelum ini, Korea Utara sudah mempunyai senjata plutonium untuk peralatan nuklear. 
Korea Utara menyifatkan pelancaran pada April 2009 sebagai ujian bagi teknologi satelitnya, tetapi Barat secara meluasnya melihat ia sebagai pencabulan kepada resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang melarang Korea Utara daripada terbabit dalam aktiviti peluru berpandu balistik dan nuklear.

Kenyataan daripada jurucakap jawatankuasa angkasa lepas Korea Utara berkata satelit Kwangmyongsong-3 direka untuk mengelilingi bumi akan dipasang pada roket Unha-3 dari stesen Sohae di daerah Cholsan. 

Beliau berkata Korea Utara akan mematuhi peraturan antarabangsa mengawal pelancaran satelit untuk tujuan keamanan saintifik. 

Korea Utara menguji peralatan nuklear pada 2006 dan 2009 dan dipercayai mempunyai senjata plutonium untuk empat hingga lapan bom atom primitif, kata saintis Pusat Keselamatan Keselamatan dan Kerjasama Antarabangsa di Universiti Stanford, Siegfried Hecker.

Pada 2009, Korea Utara mendakwa pihaknya memulakan pengkayaan uranium, cara kedua membuat bom atom dan mendedah prasarananya kepada Hecker dan pakar Korea Utara, Robert Carlin dalam satu lawatan pada November 2010.

Hecker berkata Korea Utara tidak mengeluarkan plutonium buat masa ini, tetapi terlalu sedikit maklumat mengenai sama ada mereka sudah meningkatkan pengkayaan uranium atau cuba membuat bom menggunakannya. 

Di Seoul, Kementerian Perpaduan berkata pihaknya tiada sebarang komen. Korea Utara dijangka menjadi tuan rumah Persidangan Keselamatan Nuklear di Seoul dua minggu lagi dan program nuklear Korea Utara dijangka dibincangkan ketika perhimpunan pemimpin dunia. – AP/Reuters
'via Blog this'

No comments: