PASIR GUDANG – Keluarga mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, mungkin akan berpindah menetap bersama mertua di Sarawak selepas semua urusan selesai.
Ibu mangsa, Roselyn Alan, 25, berkata, tiga hari sebelum anaknya yang mesra dipanggil Dirang dilaporkan hilang, hatinya memberontak ingin berpindah ke tempat lain, tetapi keadaan suami ketika itu masih belum bekerja menghalang niatnya itu.
Menurutnya, sekiranya tidak jadi pulang ke Sarawak sekalipun, mereka sekeluarga tidak akan lagi menetap flat dan ingin mencari rumah teres yang difikirkan lebih selamat.
“Ibu mertua suruh kami pulang menetap bersama mereka di Sarawak kerana bimbang dengan keselamatan kami di sini, tetapi kami masih belum memberi sebarang keputusan.
“Kami nekad mahu berpindah dari kawasan ini, kerana bayangan Dirang sentiasa ada bersama. Ke mana sahaja pergi sama ada ke bilik air atau ke taman permainan, saya sering terbayangkan dia (Dirang) ada bersama ,” katanya di sini, semalam.
Roselyn berkata, suasana di rumahnya sunyi kerana tiada lagi bebelan dan rengekan manja daripada Dirang yang digelar ‘becok’ dalam kalangan keluarga.
Menurutnya, tidurnya tidak pernah lena sejak kehilangan Dirang kerana setiap malam terasa seperti Dirang ada di sisi, malah seolah-olah terdengar bunyi anak manjanya itu menghisap jari.
“Dirang memang menghisap jari kanan sebelum tidur. Mulutnya tidak pernah berhenti membebel dan menyanyi sambil menari setiap kali bangun tidur sehingga kami menggelarnya sebagai ‘becok’.
“Saya tidak sangka selepas adiknya, Ainul Syuhada Abdullah, 2 bulan hadir dalam hidup kami, dia (Dirang) pula pergi,” katanya yang masih dalam keadaan trauma.
Roselyn turut menggesa pihak polis supaya mempercepatkan siasatan kerana mahu pembunuh anaknya dikenakan hukuman yang setimpal.
“Saya harap polis dapat mempercepatkan siasatan dan membawa pembunuh anak saya ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman yang setimpal.
“Saya juga mohon pihak polis membebaskan bekas suami saya kerana saya yakin dia tidak terbabit dalam pembunuhan anak kandungnya sendiri,” katanya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment