Pages

Wednesday, December 14, 2011

Korban di Syria melepasi 5,000 orang

NEW YORK 13 Dis. - Bilangan kematian dalam pertumpahan darah di Syria ekoran pemberontakan anti-rejim Bashar al-Assad sejak sembilan bulan lalu kini sudah melepasi angka 5,000 orang.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hak asasi manusia, Navi Pillay mendedahkan jumlah korban tersebut dalam taklimatnya kepada Majlis Keselamatan PBB, semalam.

Angka itu menandakan peningkatan mendadak berbanding lebih 4,000 kematian yang beliau sebut 10 hari lalu, dan 2,000 kematian yang beliau laporkan kepada Majlis Keselamatan pada 18 Ogos lepas.

"Hari ini saya melaporkan angka kematian melebihi 5,000 orang termasuk 300 kanak-kanak," kata Pillay kepada pemberita selepas memberi taklimat tertutup mengenai 'situasi sangat buruk' di Syria.

Angka tersebut mencakupi orang awam, askar yang berpaling tadah dan mereka yang dibunuh kerana enggan menembak penduduk awam, tetapi tidak termasuk anggota tentera dan pasukan keselamatan lain yang dibunuh oleh penentang rejim, katanya.

Lebih 14,000 orang dilaporkan ditahan, sekurang-kurangnya 12,400 penduduk mencari perlindungan di negara jiran dan puluhan ribu lagi terpaksa berpindah, lapor Pillay.

"Keterangan bebas dan boleh dipercayai menggambarkan pencabulan hak asasi manusia berlaku sebagai sebahagian serangan meluas dan sistematik ke atas orang awam," katanya.

Beliau memberitahu Majlis Keselamatan bahawa laporannya itu adalah berasaskan maklumat daripada lebih 230 saksi.

Pillay mengulangi kenyataan tindakan kerajaan Syria ke atas penduduk awam boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan dan beliau sekali lagi menyeru Majlis Keselamatan supaya membawa isu Syria ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: