BRUSSELS 13 Dis. - Mahkamah Belgium hari ini menjatuhkan hukuman penjara terhadap empat sekeluarga berketurunan Pakistan kerana didapati bersalah membunuh salah seorang ahli keluarga mereka, menjadikan ia perbicaraan pertama digelar sebagai 'pembunuhan demi maruah' di negara ini
Selepas mengumumkan keputusan keluarga tersebut bersalah kerana menembak mati pelajar undang-undang, Sadia Sheikh pada 22 Oktober 2007, juri menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun ke atas bapa mangsa, Sheikh Tarik Mahmood, 61, dan penjara 20 tahun terhadap ibu, Zahida Parveen Sariya, 59. Sementara itu, abang Sadia, Mudusar dijatuhkan penjara 15 tahun dan kakaknya, Sariya, 22, penjara lima tahun.
Peguam keluarga tersebut berkata, Mudusar mengaku menarik picu pistol dan melepaskan tiga das tembakan yang membunuh adik perempuannya, dijatuhkan hukuman penjara lebih singkat berbanding ibu bapa mereka yang merancang pembunuhan tersebut.
Sadia, 20, yang enggan berkahwin dengan pilihan keluarganya bertindak membelakangkan keluarga dengan tinggal bersama seorang lelaki Belgium.
Ibu bapa dan adiknya didakwa membantu dan bersekongkol dalam pembunuhan itu, ketika mangsa melawat keluarganya dengan harapan untuk menjernihkan hubungan yang sudah tegang.
Sadia meninggalkan kediaman keluarganya untuk menyambung pelajaran selepas ibu bapa cuba mengatur perkahwinannya dengan sepupunya yang tidak pernah dikenali yang tinggal di Pakistan.
Ibu bapa Sadia juga berhadapan dakwaan merancang perkahwinan. Mereka menafikan terlibat dalam pembunuhan dan berkata, Mudusar membunuh dalam keadaan marah. - AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment