ANGGOTA keselamatan memeriksa kenderaan mangsa yang tersepit di antara dua bangunan selepas terjatuh dari tingkat enam di Melbourne, semalam. |
Kenderaan wanita tersepit di celah bangunan
MELBOURNE: Seorang wanita semalam terselamat selepas kereta dinaikinya terjunam dari tingkat enam sebuah bangunan tempat meletak kereta di Melbourne dan tersepit di antara dua bangunan.
Mangsa diselamatkan 40 minit selepas kenderaannya jatuh kira-kira 30 meter dan tersepit di tingkat bawah antara dua bangunan.
“Ia kedengaran seperti sebuah trak terhempas. Bunyi bising kedengaran selama lima hingga enam saat. Ia diikuti satu dentuman kuat,” katanya.
Wanita yang cedera di kepala serta tulang belakang itu dikejarkan ke Hospital Royal Melbourne dengan keadaannya dilaporkan serius namun stabil.
Polis masih menyiasat bagaimana kereta mangsa melanggar tiang besi dan wayar penghalang di tempat meletak kereta terbabit.
Paramedik berkata, tali pinggang keledar mungkin menyelamatkan nyawa mangsa kerana ia menghalang mangsa daripada tercampak ke bahagian tempat duduk penumpang yang remuk teruk.
“Saya rasa banyak perkara yang menyelamatkan nyawanya . Beg udara, tali pinggang keledar dan tuah,” kata paramedik, Matthew Riddle.
“Amat menakjubkan beliau masih hidup, kemalangan terbabit menyebabkan kecederaan yang dialami wanita terbabit juga unik.
“Ia amat berbeza dalam satu kemalangan berkelajuan tinggi. Hentakan datang dari satu arah tetapi ia kelihatan kereta itu seperti melanggar beberapa bangunan sebelum jatuh menyebabkan beliau terlanggar dalam beberapa kedudukan,” katanya. – AFP Berita Harian Online | Pemandu selamat kereta terjunam
No comments:
Post a Comment