Pages

Thursday, December 22, 2011

Iran pindah laman web ke dalam negara elak virus

TEHRAN: Iran memindahkan kebanyakan laman web kerajaan di luar negara ke dalam kemudahan baru komputer dalam negara untuk mengelak serangan siber musuh.

Langkah keselamatan baru itu diumumkan setahun selepas Iran mendedahkan virus komputer berkuasa dikenali sebagai Stuxnet menyerang komputer reaktor nuklear Bushehr.

“Lokasi hos yang mempunyai 90 peratus laman web kerajaan dipindahkan ke dalam negeri. Ini adalah langkah penting untuk melindungi maklumat kerajaan,” kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Iran, Ali Hakim Javadi, kepada agensi berita IRNA.
Javadi berkata, lebih 30,000 laman web Iran milik kementerian dan badan kerajaan lain sehingga baru-baru ini dihoskan oleh syarikat di Amerika Utara dan beberapa negara lain.

“Data mungkin terdedah kepada bahaya bila-bila masa,” katanya.

Seorang pakar komputer yang enggan dikenali memberitahu langkah itu memberi impak terhad.

“Ia tidak boleh menjadi langkah amat berkesan kerana laman itu boleh diceroboh daripada mana-mana sudut dunia. Bagaimanapun, ia boleh mengehadkan pencapaian kepada komputer yang menyimpan data,” katanya.
Reaktor nuklear Bushehr diserang senjata siber Stuxnet dalam apa yang dikatakan Tehran adalah serangan Israel dan Amerika Syarikat.

Pemimpin Barat mengesyaki program nuklear Iran sebenarnya usaha membangunkan bom nuklear, ketika Tehran menegaskan ia bertujuan menghasilkan elektrik.

Kewujudan Stuxnet menjadi pengetahuan umum pada ketika Iran memulakan usaha memasukkan bahan api ke Bushehr, reaktor nuklear pertama negara itu, Ogos lalu.

Iran memandang ringan impak virus itu dan September lalu berkata, komputer di Bushehr diganggu tetapi loji itu selamat. Bushehr terlepas beberapa tarikh akhir bermula.

Ia menyebabkan spekulasi Stuxnet merosakkan pelan itu tetapi dinafikan Iran. Pegawai Tehran berkata, virus itu mungkin memberikan risiko besar jika tidak ditemui dan diuruskan sebelum kerosakan besar berlaku. – Reuters
Berita Harian Online | Iran pindah laman web ke dalam negara elak virus:

No comments: