KUALA LUMPUR 21 Dis. - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memperkenalkan satu siri wang kertas dan duit syiling baharu yang akan berada dalam edaran pada separuh kedua 2012.
Wang kertas itu melibatkan denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100 manakala duit syiling itu pula dalam denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.
Duit syiling itu dilancarkan pada 25 Julai 2011 tetapi hanya akan berada dalam edaran Januari ini. Pelancaran wang kertas dan duit syiling itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini. Ini kali keempat mata wang kertas baharu diperkenalkan dan kali ketiga untuk duit syiling.
Pelancaran wang kertas itu juga dilihat sebagai lanjutan kepada pengenalan wang kertas baharu dalam denominasi RM50 yang kini berada dalam edaran. Daripada semua wang kertas itu, hanya RM1 dan RM5 dihasilkan dengan penggunaan substrat polimer.
Menurut BNM, wang kertas siri baharu ini turut mengandungi ciri-ciri keselamatan yang dipertingkat sejajar dengan kemajuan terkini dalam teknologi wang kertas.
''Ciri-ciri keselamatannya termasuk imej tanda bayang, tingkap pandang telus, potret tera air dengan piksel dan angka, benang keselamatan dengan warna berubah-ubah, benang kanta mikro, tanda pandang telus dan petak kilat berwarna untuk memudahkan orang ramai mengenalinya.
''Wang kertas itu juga boleh dikenal pasti melalui sentuhan untuk memudahkan golongan kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan denominasi yang berlainan,'' kata kenyataan itu.
Wang kertas siri baharu ini diinspirasikan daripada ciri-ciri unik negara dan memasukkan elemen kekayaan alam semula jadi, budaya dan khazanah negara.
''Dengan tema 'Keunikan Malaysia', siri wang kertas ini memaparkan ekspresi tradisional berilhamkan seni dan kraf tangan, keajaiban alam semula jadi, flora dan fauna, serta ekonomi,'' jelas bank itu lagi.
Sementara itu, BNM turut mengeluarkan wang kertas peringatan bersempena dengan pengenalan mata wang siri baharu ini.
Tiga jenis set wang kertas peringatan yang dijual adalah denominasi RM1 dan RM5 pada harga RM15 setiap satu, denominasi RM20 berharga RM30 setiap satu dengan jumlah terhad iaitu 500,000 set.
BNM turut menjual set premium (denominasi RM1, RM5, RM10, RM20, RM50 dan RM100) - 50,000 set yang berharga RM300 setiap satu.
Ia mula dijual pada 22 Disember 2011 di Ibu Pejabat BNM (BNMLINK) dan cawangan-cawangan di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment