KOTA BHARU 20 Dis. - Seorang bapa yang mendakwa diabaikan oleh ahli keluarganya telah memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini untuk membatalkan pemberian tiga bidang tanah bernilai RM150,000 kepada dua anak perempuannya dan seorang menantu sejak 10 tahun lalu.
Che Soh Che Mat, 75, memfailkan tuntutan pembatalan hebah (pemberian hidup) pada 14 Jun lalu dengan menamakan anak sulungnya, Shamsiah, 64; anak kedua, Che Moh, 42; dan suami Shamsiah, Abdul Ghani Othman, 66, sebagai defendan-defendan.
Bagaimanapun ketiga-tiga defendan tidak muncul di mahkamah untuk majlis sulh (penyelesaian secara damai) pada hari ini, begitu juga pada sebutan kes pada 14 Disember lalu.
Dalam tuntutan tersebut, penuntut yang telah berkahwin lain selepas kematian isteri pada 1985, memohon mahkamah membatalkan pemberian tersebut, selain meminta Pentadbir Tanah Jajahan Kota Bharu atau Pendaftar Hak Milik Tanah-Tanah Kelantan meletakkan kembali hak kepadanya atau perintah lain yang sesuai.
Che Soh yang mempunyai tiga orang anak ketika ditemui di luar mahkamah mendakwa, masalah berlaku sejak lima tahun lalu apabila kedua-dua anak perempuan dan menantunya itu mula mengabaikannya.
''Saya telah memindah milik tiga lot tanah milik saya kepada nama dua anak perempuan saya dan satu lot lagi kepada menantu saya pada 1991.
''Sejak lima tahun kebelakangan ini, ketiga-tiga mereka telah mengabaikan saya termasuk bersikap seperti mahu memutuskan hubungan dengan saya. Saya langsung tidak dipedulikan termasuk tidak bertanya khabar,'' dakwanya.
Warga emas itu menambah kata, dua lot tanah yang diberikan kepada anak-anaknya itu hanya terletak kira-kira 30 meter dari rumahnya di Kampung Kedai Batu 8, Jalan Kuala Krai.
Menurutnya, satu lot tanah terbabit kini dalam proses pembinaan rumah Shamsiah manakala satu lot tanah lagi siap bersama sebuah rumah yang dibinanya sebelum ini.
Dakwanya, rumah tersebut kini didiami oleh anak Shamsiah bersama keluarga dan anak-anaknya sering menjadikan rumah tersebut sebagai tempat berkumpul namun mereka tidak pernah meluangkan masa untuk melawatnya.
''Saya pernah memberitahu mereka untuk mengambil semula tanah tersebut untuk dijual kerana saya teringin menunaikan haji. Mereka berjanji untuk memberikan saya wang tetapi selepas dua tahun, saya terus kempunan,'' dakwanya.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Che Soh, Zaki Zainal Abidin berkata, sebutan kali kedua kes tersebut ditetapkan pada 14 Disember lalu namun terpaksa ditunda kerana ketiga-tiga defendan tidak hadir ke mahkamah.
''Hari ini, kita telah meminta ketiga-tiga mereka hadir ke mahkamah untuk berunding ataupun mengadakan majlis sulh di hadapan pegawai sulh, Zulkiflee Mohamad tetapi kesemua mereka masih ingkar dan tidak menghadirkan diri,'' katanya.
Zaki berharap ketiga-tiga mereka hadir ke mahkamah pada 16 Januari depan bagi Majlis Sulh yang yang kedua.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment