Patung singa nombor lapan yang telah dibaik pulih diletak kembali ke tempat asalnya di Dataran Singa di Istana Alhambra di Granada, Sepanyol. - AFP |
GRANADA 20 Dis. - Satu daripada 12 patung singa marmar di istana bersejarah Alhambra di Granada, Sepanyol dikembalikan ke tempat asalnya semalam selepas dibaik pulih oleh pakar.
Patung seberat 300 kilogram itu diletakkan di kawasan air pancut di Dataran Singa di tengah Istana yang merupakan tarikan pelancongan utama di Sepanyol itu.
"Ia adalah satu peristiwa bersejarah," kata Paulino Plata, pegawai kebudayaan bagi wilayah Andalusia ketika patung singa itu dikembalikan ke tempat asalnya selepas ia dipindahkan selama empat tahun untuk kerja pembaikan.
Alhambra yang kaya dengan seni bina Islam merupakan istana dinasti Nasrid yang didirikan sejak kurun ke-13 dan Dataran Singa pula dibina oleh Sultan Mohamed V pada kurun ke-14.
Sebanyak 11 lagi baki patung singa itu dijadual dibawa satu persatu dalam tempoh beberapa hari ini.
Proses pembaikan patung singa itu adalah sebahagian daripada projek untuk mempercantikkan Dataran Singa yang dikatakan Plata memakan kos sebanyak 2.16 juta euro (RM8.9 juta).
Untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, Istana Alhambra telah menerima dua juta pengunjung dan dataran tersebut dijangka dibuka tahun depan. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:'via Blog this'
No comments:
Post a Comment