Pages

Wednesday, December 21, 2011

Rugi RM230,000 ‘selesai saman’

SERDANG: Satu sindiket menyamar pegawai mahkamah, polis dan Bank Negara dikesan menggunakan taktik menawarkan pertolongan bagi menyelesaikan kes saman sivil Mahkamah Tinggi individu tertentu walaupun kes itu tidak wujud.

Mangsa terbaru sindiket itu seorang kontraktor pemasangan penyaman udara yang bimbang dengan ugutan sindiket mengalami kerugian kira-kira RM230,000 di Taman Seri Serdang, di sini.


Mangsa yang hanya dikenali sebagai Cheng, 49, berkata dalam kejadian jam 2 petang Sabtu lalu, dia menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri wakil Mahkamah Tinggi yang mendakwa satu surat saman sudah dikeluarkan ke atasnya atas kesalahan membuat pinjaman wang haram di Johor.

Menurutnya, dia terkejut dengan dakwaan lelaki itu dan mahu bertanya lanjut sebelum panggilan itu kononnya disambungkan ke Bukit Aman dan bercakap dengan seorang lelaki yang mendakwa polis berpangkat pegawai.


“Lelaki itu mengugut akan menangkap saya dalam tempoh 48 jam kerana bersalah membuat pinjaman haram.


“Dia juga mendakwa pihak Bank Negara akan menghubungi dalam tempoh setengah jam dan selepas itu, seorang wanita yang mendakwa dari Bank Negara menghubungi memberitahu masalah saman itu boleh diselesaikan dengan syarat memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun,” katanya di sini, semalam.

Katanya, dia yang bimbang dengan saman itu memasukkan RM75,000 ke dalam akaun yang diberi wanita terbabit di sebuah bank di Taman Sri Serdang, jam 11 pagi kelmarin.


Cheng berkata, selepas dua jam memasukkan wang itu, sekali lagi wanita sama memberitahu jumlah itu tidak mencukupi dan menyuruhnya menambah RM150,000.

“Saya memasukkan wang itu ke dalam akaun lain yang diberi jam 1.30 tengah hari sebelum seorang lelaki yang menyamar pegawai polis Bukit Aman menghubungi saya.


“Lelaki itu meyakinkan saya apabila mahu datang ke rumah untuk menyelesaikan masalah berkenaan pada jam 5 petang, namun dia tidak muncul,” katanya.


Menurutnya, penat menunggu kehadiran lelaki itu, dia cuba menghubungi tiga talian terbabit, namun ia tidak dijawab.


Katanya, dia yang berasa tertipu membuat laporan di Balai Polis Batu 9, Cheras, sejurus kejadian.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut dijalankan.

myMetro | Rugi RM230,000 ‘selesai saman’:

'via Blog this'

No comments: