Pages

Friday, August 26, 2011

Wajib pakai ihram untuk tawaf





2011/08/26

SUASANA Masjidilharam pada waktu malam, kelmarin.
SUASANA Masjidilharam pada waktu malam, kelmarin.
Syarat guna Mataf pada Lailatul Qadar 

MAKKAH: Jemaah yang tidak memakai ihram tidak akan dibenarkan memasuki mataf (kawasan tawaf) di Masjidilharam pada malam 27 Ramadan, dipercayai secara meluas sebagai 'Malam Lailatul Qadar', lapor akhbar Al-Madinah kelmarin memetik seorang pegawai kanan keselamatan sebagai berkata.
Komander polis Masjidilharam Kolonel Yahya Al-Zahrani berkata jemaah biasa yang datang untuk bersolat atau menghadiri sesi penutup bacaan ayat suci al-Quran pada malam ke-29 akan diarahkan ke kawasan bumbung, tingkat bawah dan plaza di luar masjid.
“Urusan ini dibuat bagi mengelak kesesakan pada malam ke-27 dan 29 serta menjadikannya mudah kepada jemaah melakukan umrah,” katanya. 

Yahya berkata, anggota polis yang bertanggungjawab untuk keselamatan Masjidilharam diperketatkan iaitu 1,600 anggota polis, 29 pegawai dan 2,800 kadet. 

Katanya, Masjid Agung itu dipantau setiap masa oleh 750 kamera pengawasan diletakkan di lokasi berbeza di dalam dan luar masjid. 

Beliau juga mengakui kes kecurian kurang tahun ini dalam kawasan masjid disebabkan pemasangan kamera, sistem cap jari di lapangan terbang dan kerjasama antara polis di Arab Saudi dan negara yang menghantar jemaah. 
Sementara itu, Jabatan Tawaf dan Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci memberi amaran kepada pemandu jemaah yang tidak berlesen supaya tidak bekerja di Masjidilharam atau dikenakan tindakan. 

Pengarahnya, Yousuf Muhammad Al-Suwailam, berkata pegawai memantau rapat pemandu jemaah dalam masjid dan berkata mereka yang tiada permit sah akan didenda. 

Ada 600 pemandu jemaah menemani jemaah ketika tawaf di sekitar Kaabah dan saie, di antara Safa dan Marwah. 

Al-Suwailam meminta jemaah menghabiskan masa di Masjidilharam untuk bersolat dan menasihatkan mereka tidak bersesak di sekitar Hajarul Aswad. 

Katanya, solat sunat tawaf boleh dilakukan di mana saja di dalam masjid, tidak semestinya berhampiran Makam Ibrahim. 

Al-Suwailam meminta jemaah dan pelawat menghantar aduan dan pemantauan ke pejabat jabatan berhampiran Pagar Bilal (No 6). – Agensi 

No comments: