Pages

Friday, August 26, 2011

Remaja maut rempuh lori



TANAH MERAH - Seorang remaja maut manakala rakannya cedera parah apabila motosikal dinaiki mereka merempuh belakang lori yang berhenti di kiri bahu jalan dekat Felda Kemahang di sini, jam 10 malam Isnin lalu.

Remaja yang maut, Mohd Ariffudin Yusof, 15, disahkan meninggal dunia di klinik kesihatan Kemahang manakala pembonceng, Muhamad Fazal Hakimee, 12, parah kepala.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, kejadian berlaku apabila motosikal ditunggangi, Mohd Ariffudin melanggar belakang lori yang tidak bergerak di sebelah kiri bahu jalan.

“Lori tersebut yang dipercayai dari Kota Bharu membawa barang perabot yang ditempah penduduk di sini, ketika kejadian kelindan dan pemandunya sedang mengangkat barang ke rumah.

“Tiba-tiba pemandu terdengar satu dentuman kuat, dan bergegas ke tempat kejadian mendapati dua remaja terbabit terbaring berhampiran lori berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi.

Menurutnya, dua remaja tersebut dipercayai baru balik dari rumah rakan dekat Blok 12 Felda Kemahang 1 dan mahu pulang ke rumah.

“Mangsa yang maut telah dibawa ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk dibedah siasat, hasil siasatan mendapati mangsa meninggal disebabkan patah tengkuk dan jenazahnya dituntut ahli keluarga pada jam 4.30 pagi semalam di bilik mayat HTM manakala rakannya parah di kepala di hantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Kita masih menyiasat kes di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Abdul Aziz menasihatkan orang ramai jaga keselamatan dengan mengikuti peraturan jalan raya dan memandu secara berhemah.SH

No comments: