MAKKAH: Sesiapa yang tidak memakai ihram tidak dibenarkan memasuki ruang tawaf di Masjidil Haram pada malam 27 Ramadan ini, lapor akhbar al-Madinah, semalam.
Memetik pegawai keselamatan kanan Makkah, akhbar itu melaporkan, orang yang tidak terbabit mengerjakan umrah diarah beribadah di bumbung masjid, ruang solat tingkat bawah dan kawasan lapang di luar.
“Peraturan ini dibuat bagi mengelak kesesakan pada malam ke-27 dan 29 Ramadan serta memberi ruang untuk jemaah umrah menyempurnakan ibadah mereka,” katanya.
Orang ramai biasanya bertumpu melipat-gandakan ibadah pada malam ke-27 dan 29 Ramadan kerana dipercayai ia adalah malam Lailatul Qadar.
Pegawai itu berkata, pihak polis diberi tanggungjawab mengawal keselamatan masjid itu dengan menggerakkan 1,600 anggota, 29 pegawai dan 2,800 kadet.
Untuk memastikan sesuatu tindakan dapat diambil dengan pantas, pihak berkuasa memantau sekitar Masjidil Haram sepanjang masa melalui 750 kamera litar tertutup (CCTV) di dalam dan luar bangunan berkenaan.
Sementara itu, polis mendapati kes kecurian di masjid itu berkurangan berbanding tahun lalu ekoran penggunaan kamera CCTV, selain pelaksanaan sistem imbasan cap jari di lapangan terbang.
Kata pegawai terbabit, Arab Saudi juga mendapat kerja sama daripada pihak berkuasa asing yang menguruskan penghantaran jemaah umrah kali ini. Sementara itu, Jabatan Tawaf memberi amaran kepada mutawif (pemandu jemaah umrah) tidak berlesen supaya tidak beroperasi di kawasan Masjidil Haram.
Pengarah jabatan itu, Yousuf Muhammad al-Suwailam, berkata pihak berkuasa memanatu secara dekat keadaan di situ bagi memastikan keadaan terkawal.
“Jika ada mutawif tanpa lesen dikesan, mereka akan dikenakan hukuman,” katanya. - AN
No comments:
Post a Comment