Pages

Friday, August 26, 2011

Lelaki terjebak sindiket dadah Peru pulang



Oleh Halina Mohd Noor dan Nurul Farina Nazlan
bhnews@bharian.com.my
2011/08/26

KUALA LUMPUR: Doa pemandu teksi yang diselamatkan wartawan Berita Harian daripada menjadi keldai dadah di Lima, Peru supaya dapat menyambut Aidilfitri bersama-sama isteri dan anak berusia empat bulan di tanah air termakbul. 

Ini kerana lelaki berusia 47 tahun yang tersadai di negara Amerika Selatan sejak lebih seminggu lalu akan pulang dan tiba di ibu negara pada Ahad ini hasil bantuan Kelab Putera 1Malaysia dan boleh beraya bersama keluarganya minggu depan.
Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, semalam berkata pihaknya menerusi Sekretariat Misi Menyelamatkan Mangsa Dadah Dianiaya, terpanggil sekali lagi membantu keldai dadah selepas menaja kepulangan seorang lagi mangsa, Rosna Shariff baru-baru ini.
Katanya, usaha berterusan itu membuktikan komitmen kelab untuk menyelamatkan warga Malaysia yang teraniaya oleh sindiket dadah yang kebanyakannya menggunakan rakyat asing warga Afrika sebagai ejen memerangkap mangsa. 

"Ini adalah misi kedua yang dilaksanakan hasil pendedahan Berita Harian. Dia bernasib baik kerana bertemu wartawan sebelum sempat berangkat ke Sao Paulo, Brazil yang dipercayai bagi mengambil barang seperti yang diarahkan seorang lelaki kulit hitam. 

"Dia tidak tahu kemungkinan barang yang bakal dibawanya itu sudah dicelup dengan bahan kimia dadah. Alhamdulillah, dia tidak ditangkap polis," katanya kepada Berita Harian semalam. 

Abdul Azeez berkata, usaha yang sama akan dipertingkatkan untuk menyelamatkan banyak lagi mangsa, wanita terutama pelajar dan ibu tunggal yang dimanipulasi sindiket untuk menyeludup dadah di luar negara. 
"Kita akan meminta mereka menjadi jurucakap Kelab Putera 1Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi berkongsi pengalaman terpedaya dengan tipu helah 'Awang Hitam' yang menawarkan janji manis, ayat cinta dan keseronokan bercuti di luar negara," katanya. 

Akhbar ini semalam melaporkan wartawannya, Halina Mohd Noor menemui lelaki berkenaan di lapangan terbang di Peru pada 21 Ogos lalu selepas selesai tugasan menemubual dan membawa pulang Rosna ke Malaysia. Hasil perbincangan dengan lelaki itu, dia bersetuju supaya diletakkan di bawah perlindungan pejabat kedutaan Malaysia dan pihak berkuasa Peru dan tidak meneruskan perjalanan ke Brazil seperti yang diarah anggota sindiket itu. 

Lelaki itu, ketika dihubungi sebelum ini berharap Kelab Putera 1Malaysia dan Berita Harian dapat membantu membawanya pulang sebelum Aidilfitri kerana terlalu merindui isteri dan anaknya yang berusia empat bulan. 

"Saya memohon bantuan Kelab Putera dan Berita Harian untuk membeli tiket penerbangan pulang ke tanah air dengan segera. Tiket yang disediakan sindiket tidak boleh digunakan lagi atas faktor keselamatan dan saya bimbang jika mereka melakukan tindakan yang membahayakan nyawa saya," katanya.. 

No comments: