Pages

Friday, August 26, 2011

Hampir kuasai seluruh Tripoli




TENTERA pemberontak mengambil gambar di atas sofa arca ikan duyung dengan wajah menyerupai Aisha Gaddafi di kediamannya di Tripoli, Libya, semalam. - AP


TRIPOLI 25 Ogos - Pemberontak Libya hari ini meneruskan kemaraan untuk menguasai keseluruhan Tripoli bagi menghapuskan saki-baki tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi dan memaksa pemimpin Libya itu keluar daripada lokasi persembunyiannya sama ada hidup atau mati.
Mengetuai kumpulan pemberontak adalah askar berpengalaman dari pasukan penggempur bandar Misrata yang membantu serangan hujung minggu lalu di ibu negara Libya ini, sekali gus menawan kubu kuat Gaddafi, Bab al-Aziziya kelmarin.
Komander pemberontak berkata, ketika mereka hampir menguasai keseluruhan Tfripoli, lokasi-lokasi panas di sekitar bandar masih menyaksikan kehadiran penembak tepat, letupan roket serta senjata berat yang mengancam nyawa.
Pemberontak juga berkeras untuk terus memburu Gaddafi supaya mereka boleh mengisytiharkan kejayaan operasi yang dimulakan enam bulan lalu, tetapi dipatahkan tentera rejim sebelum dibantu bedilan udara Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Pemimpin pemberontak berkata, mereka mahu Gaddafi dibicarakan di Libya walaupun beliau berdepan dakwaan jenayah menentang kemanusiaan bersama-sama anaknya, Saif al-Islam dan ketua risikan Abdullah al-Senussi di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) semalam menawarkan AS$1.7 juta (RM5.1 juta) ganjaran bagi mana-mana pihak yang berjaya menangkap Gaddafi sama ada hidup atau mati.
Sementara itu, usaha diplomatik mula dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan di Qatar oleh penyokong-penyokong antikerajaan bagi menyalurkan berbilion dolar aset Libya kepada pemberontak.
Washington berkata, bekalan senjata pemusnah besar-besaran Libya kini telah disekat dan ia yakin NTC akan membentuk kerajaan selepas menguasai keseluruhan Tripoli.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pertahanan Britain, Liam Fox hari ini mengesahkan NATO turut menyediakan bantuan risikan, tinjauan dan kelengkapan kepada pemberontak bagi memburu Gaddafi. - AFP

No comments: