Pages

Friday, August 26, 2011

Gaddafi mungkin jual simpanan emas Libya



MILAN 25 Ogos - Bekas Gabenor Bank Pusat Libya, Farhat Bengdara mendakwa Muammar Gaddafi akan cuba menjual sebahagian daripada simpanan emas Libya bagi membayar kos mendapatkan perlindungan dan menaja usaha menghuru-harakan hubungan antara puak di negara ini.
Bengdara yang menyokong gerakan pemberontak berkata, sekutu Gaddafi sebelum ini menawarkan 25 tan emas kepada seorang rakannya tidak lama dahulu.
''Rakan saya merujuk penjualan itu kepada saya dan saya mencadangkan mereka menolaknya. Tetapi ia merupakan petunjuk yang jelas,'' katanya kepada akhbar Itali, Corriere della Sera hari ini.
Beliau berkata, rakannya itu bukan seorang warga Libya, namun tidak memberikan maklumat lanjut.
''Simpanan emas bernilai AS$10 bilion (RM30 bilion) berada di Tripoli dan Gaddafi telah mengambil sejumlah daripadanya,'' ujarnya.
Bengdara percaya Gaddafi sudah meninggalkan Tripoli dan kini menuju ke sempadan Algeria.
''Kini, beliau akan membayar sejumlah puak dan kumpulan militan bagi mendapat perlindungan dan mewujudkan keadaan huru-hara,'' ujarnya.
Bekas Gabenor Bank Pusat yang kini Pengarah bank UniCredit Itali berkata, Libya memerlukan AS$5 hingga AS$7 bilion (RM15 hingga RM21 bilion) sebagai pinjaman berterusan untuk memulakan semula sistem bank dan membayar import.
''Libya tidak memerlukan peminjam kerana ia merupakan sebuah negara kaya. Aktiviti negara daripada Pihak Berkuasa Pelaburan, bank pusat dan simpanan emas bernilai AS$168 bilion. Tetapi semua itu telah dibekukan,'' ujarnya.
Beliau berkata, ia akan memakan masa berbulan-bulan dan satu resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencairkannya. - REUTERS

No comments: