Pages

Friday, August 26, 2011

Krisis kebuluran di Somalia merebak ke wilayah lain




SEORANG ibu memegang anaknya yang kekurangan zat makanan di wad pediatrik di Hospital Banadir, Mogadishu, Somalia, 22 Ogos lalu. - REUTERS


NAIROBI 25 Ogos - Krisis kebuluran di Somalia dijangka merebak ke dua lagi wilayah baru di selatan negara itu iaitu Juba Tengah dan Juba Selatan, ketika berjuta-juta penduduk terus berdepan kemarau terburuk dalam tempoh 60 tahun.
Penyelaras Bantuan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Somalia, Mark Bowden berkata, dua wilayah itu menambah bilangan lokasi kebuluran di Somalia kepada tujuh setakat ini.
"Kami kini sedang menunggu analisis statistik untuk mengesahkan perkara tersebut," katanya kepada AFP.
PBB menyifatkan Somalia yang dilanda perang saudara sejak 1991, kini berdepan krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.
Bulan lalu, badan dunia itu mengisytiharkan kebuluran berlaku di wilayah Bakool dan Shabelle Selatan di Somalia yang kemudian merebak ke tiga lagi lokasi termasuk Afgoye yang menempatkan kem pelarian terbesar dunia.
Menurut PBB, kebuluran ditakrifkan sebagai keadaan di mana sekurang-kurangnya 20 peratus bilangan isi rumah berdepan kekurangan makanan melampau, mengalami pemakaian tidak seimbang yang serius di kalangan lebih 30 peratus penduduk dan dua kematian dicatat dalam setiap 10,000 penduduk sehari.
"Pengisytiharan kebuluran ini menggalakkan pertambahan bantuan dan sokongan antarabangsa," katanya dengan menambah sehingga AS$280 juta (RM840 juta) bantuan yang dijanjikan telah diterima sehingga kini. - AFP

No comments: