Pages

Tuesday, August 30, 2011

117 kematian dalam Ops Sikap membimbangkan

KUALA LUMPUR: “Rekod kemalangan maut dengan 117 kematian sehingga semalam sejak Ops Sikap ke-24 dilancarkan 22 Ogos lalu adalah satu perkembangan membimbangkan,” kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar.
Menurutnya, penyumbang terbesar kepada jumlah kematian itu ialah penunggang motosikal yang mencatatkan 71 kematian.

“Hasil kajian polis mendapati kemalangan kerap berlaku sekitar jam 2 petang sehingga 8 malam di mana pada jam 2 hingga 4 petang, mungkin disebabkan faktor cuaca, keletihan dan kecuaian ketika memandu.

“Sehubungan itu, kami menasihatkan pengguna jalan raya memandu dengan berhati-hati pada waktu terbabit,” katanya selepas melawat Kanopi Ops Sikap di Jalan Sungai Buloh menghala Kuala Selangor, semalam.

Khalid berkata, statistik menunjukkan jumlah kemalangan sepanjang seminggu Ops Sikap tahun ini meningkat 22 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan jumlah kemalangan maut juga meningkat 20 peratus.

“Kebanyakan kemalangan berlaku di Jalan Persekutuan. Ini menunjukkan mangsa kemalangan bukan saja pengguna jalan raya ingin pulang ke kampung, tetapi juga penduduk tempatan yang menggunakan laluan itu.


“Malah, kenderaan yang berhenti di laluan kecemasan turut menjadi penyumbang kepada kemalangan. Kami nasihatkan supaya jika tiada alasan yang kuat jangan berhenti di laluan kecemasan kerana ia mengundang bahaya,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang lebuh raya sudah disediakan kawasan rehat dan rawat (R&R) kepada pengguna yang ingin berhenti untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan.

“Anggota trafik sudah diarahkan supaya mengambil tindakan tegas kepada pengguna jalan raya yang berhenti di laluan kecemasan tanpa alasan kukuh,” katanya.hmetro

No comments: