Penduduk Tripoli berhimpun di Dataran Hijau untuk menyambut kedatangan Aidilfitri semalam. — Foto Reuters
Wanita menyambut kedatangan Aidilfitri di Dataran Hijau, Tripoli semalam. — Foto ReutersTRIPOLI 31 Ogos 11: Kehadiran Aidilfitri pertama tanpa kepimpinan Muammar Gaddafi disambut oleh rakyat Libya dengan kegembiraan dalam suasana serba kekurangan - daripada wang sehingga bekalan air.Pun begitu tiada apa yang dapat menjejaskan kegembiraan sebenar mereka — kini mula merasai kebebasan — penduduk Tripoli memanggilnya sebagai Aidilfitri Kemenangan. Selepas 42 tahun dipimpin oleh Muammar, Aidilfitri tahun ini akan kekal dalam ingatan rakyat Libya.
“Setiap tahun kami sambut dengan baju-baju yang baru, hidangan istimewa dan manisan buatan sendiri.
“Tetapi ada kekurangan tahun ini. (Tetapi) terima kasih buat tahun ini, ada perisa istimewa. Aidilfitri kali ini ada kebebasan,” kata Adel Kashad, 47, seorang jurutera sains komputer di syarikat minyak.
“Kami gembira. Muammar Gaddafi telah melesukan kami. Beliau telah membunuh begitu ramai orang. Beliau telah menyebabkan banyak kemusnahan. Tumpahan darah ini kerana beliau tidak mahu pergi. Kalau beliau pergi dengan aman, semua ini sudah pasti tidak berlaku,” katanya.
“Libya di ambang baru,” tambah Adel ketika membeli sayur-sayuran di pasar Souk al-Jumaa semalam, menjelang Aidilftir hari ini.
Berbanding tahun-tahun sebelum ini mereka terpaksa menyambut 1 Syawal tanpa baju-baju baru atau hidangan yang pelbagai. Tripoli, ibu negara Libya, dengan dua juta penduduk masih berusaha untuk kembali normal selepas kebangkitan enam bulan yang membawa kepada kejatuhan Muammar, yang didakwa memerintah dengan menakutkan tujuh juta rakyatnya.
Tinjauan Reuters menunjukkan kedai-kedai dan bisnes masih ditutup. Bekalan elektrik, air dan komunikasi terus mengalami gangguan. Orang ramai masih duduk di rumah dan hanya keluar untuk membeli-belah di pasar tempatan.
Seorang pemandu, Zeid Al Akari, 60, berkata, “tidak mengapa jika kita kekurangan bekalan, jika kita perlu buat pengorbanan hari ini, demi hari kebebasan.”
“Apa yang penting ialah kita telah menamatkan pemerintahan kuku besi,” katanya lagi.
Ali El-Mabrouk, 60, seorang pesara kakitangan pejabat menambah: “Insya-Allah, keadaan akan bertambah baik.”
“Tempoh ini akan berakhir. Tahun ini kami akan menyambut Aidilfitri dan Hari Kemenangan,” katanya lagi.
Aidilfitri datang ketika ramai yang masih mengebumikan mereka yang telah meninggal dunia dan mencari saudara-mara yang telah hilang dalam pertempuran di Tripoli. Belum ada angka muktamad mengenai jumlah mereka yang mati sejak rakyat Libya turun ke jalan pada Februari lalu dan mengambil alih bandar barat Benghazi. Sejak Selasa lalu pemberontak menguasai ibu negara Libya pula.
Bagi Sauad al-Mistari, 65, kegembiraan menggulingkan Muammar tidak lengkap.
“Saya tidak akan aman sehingga Muammar dan anak-anak lelakinya mati. Mereka telah memenjarakan tiga anak lelaki saya yang lain selama empat bulan dan membunuh anak saya yang kecil. Dia mati pada 21 Ogos dan tiga yang lain dibebasakan tiga hari kemudian. Kegembiraan saya tidak akan lengkap,” katanya lagi.
Katanya, dia kecewa kerana anak lelakinya mati sebelum pemberontak masuk ke Tripoli, yang menyaksikan mereka menguasai ibu negara daripada tangan Muammar.
“Kebebasan sesuatu yang sangat berharga dan saya membayar kos yang tinggi bagi kebebasan kami tetapi saya berharap anak saya mati syahid adalah yang terakhir,” katanya.
Di sebuah cawangan North Africa Bank, orang ramai beratur panjang untuk menerima gaji mereka. Ramai mengatakan bahawa mereka tidak menerima gaji sejak tiga bulan lalu.
Pengurusnya Masbouh al-Zawi, 49, berkata Majlis Peralihan Kebangsaan telah memberi arahan kepada bank pusat bahawa gaji harus dibayar. Sementara butiran sedang diuruskan orang ramai akan diberi bayaran awal AS$200 untuk membantu mengurangkan beban mereka.
Katanya, ramai penduduk yang mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak sebelum Muammar digulingkan, untuk disimpan di rumah, kini kembali memasukkan wang mereka di bank. Di dalam bank itu, poster Muammar dibuang ke lantai dan orang ramai berjalan di atasnya.
“Kami boleh uruskan hidup kami tanpa wang, tanpa makanan, tanpa elektrik. Ia tidak penting. Tetapi perkara utama ialah orang kuat ini, yang menyeksa kami telah digulingkan,” katanya lagi.
Di sekolah, kanak-kanak dan wanita berhimpun untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Kami telah tinggal di penjara yang besar. Selepas huru-hara begitu lama, kami mahu negara kami menjadi negara lebih baik. Nampaknya keadaan akan bertambah baik selepas ini. Kami tiada apa-apa sebelum ini, kami tiada prospek, tiada peluang dan wang untuk mencapai matlamat kami (sebelum ini),” kata Noha al-Bakoushe , 19, seorang pelajar perubatan di Universiti al-Fateh.
Sementara itu, keluarga Muammar Gaddafi dilaporkan telah ‘melarikan’ diri ke Algeria tetapi lokasi pemimpin itu masih belum diketahui, demikian menurut laporan media asing. Dalam pada itu, pejuang pemberontak mendakwa telah membunuh salah seorang anak lekakinya — Khamis Gaddafi dalam serangan udara kira-kira 60 kilometer ke selata. (IH)
No comments:
Post a Comment