Pages

Tuesday, June 7, 2011

Tentera Zionis bunuh 23 orang di sempadan Syria




PARA penunjuk perasaan bertempiaran lari apabila tentera Zionis melepaskan gas pemedih mata semasa mereka berhimpun di sepanjang sempadan Syria dan Israel. Sebilangan mereka bertindak nekad dengan memotong pagar kawat untuk memasuki Bukit Golan yang dikuasai Zionis, mendorong tentera (gambar kecil) menembak mati 23 daripada mereka. – AFP


BAITULMAQDIS 6 Jun – Televisyen kerajaan Syria berkata, 23 orang terbunuh dan kira-kira 350 lagi cedera akibat tembakan Israel, dengan kesemua mangsa berada di kawasan sempadan sebelah Syria.
Kejadian itu berlaku semasa protes besar-besaran di sepanjang garisan gencatan senjata Israel-Syria.
Ratusan penunjuk perasaan dari Syria semalam cuba memanjat pagar berduri di kawasan sempadan untuk masuk ke Bukit Golan yang diduduki rejim Yahudi, mendorong askar Israel melepaskan tembakan yang menyebabkan kematian dan kecederaan.
Protes itu diadakan bagi memperingati hari ulang tahun Perang Enam Hari 1967 apabila Israel menawan Bukit Golan dan wilayah Palestin.
Bagaimanapun tentera Israel mendakwa hanya 10 orang maut, kesemuanya terbunuh apabila beberapa periuk api Syria meletup disebabkan bom petrol yang dibaling oleh penunjuk perasaan.
“Kami sedar kira-kira 10 kematian semalam berpunca daripada penggunaan bom petrol yang terkena periuk api Syria di kawasan Quneitra,” kata jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Avital Leibovitz.
Beliau tidak menyatakan bagaimana tentera Israel boleh mengesahkan angka kematian.
Sementara itu di Syria, polis hari ini menghalang penunjuk perasaan daripada berarak menghampiri sempadan dengan Bukit Golan.
Polis mendirikan dua sekatan, satu terletak kira-kira lima kilometer dan satu lagi satu kilometer dari sempadan.
Mereka mengarahkan penunjuk perasaan supaya beredar, dalam usaha untuk mencegah insiden semalam daripada berulang. – AFP/AP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: