Pages

Tuesday, June 7, 2011

2 remaja maut motosikal rempuh kereta

KUANTAN: Dua sahabat yang juga pelajar sekolah menengah di Maran maut selepas motosikal dinaiki bertembung sebuah kereta ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapan mereka di Kilometer 19 Jalan Maran - Bandar Jengka, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa, Aznil Junid, 14, yang menunggang motosikal dari Kampung Sungai Ling Luar, Chenor, Maran, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Maran, manakala pemboncengnya, Mohd Khairuzzaman Abdul Rahman, 15, dari Kampung Buria, Maran, pula disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohd Najid Jusoh, berkata mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Bandar Jengka menuju ke Maran sebelum cuba memotong kenderaan di hadapan mereka.
Beliau berkata, tindakan mangsa memotong di laluan berselekoh tajam itu menyebabkan motosikal dinaiki memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki menuju ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Bandar Jengka.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang dan pembonceng tercampak ke atas jalan raya dan pada masa sama, sebuah motosikal lain jenis Yamaha dinaiki dua lelaki dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh mangsa.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala. Pembonceng sebuah lagi motosikal turut cedera parah apabila patah kaki, manakala penunggang dan pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Berita Harian Online | 2 remaja maut motosikal rempuh kereta

No comments: