Pages

Tuesday, June 7, 2011

11 maut pertempuran antara kabilah di Tunisia


TUNIS 6 Jun - Seramai 11 orang terbunuh dalam pertempuran selama dua hari di antara kabilah-kabilah yang bermusuhan di kawasan perlombongan di pekan Metlaoui, Tunisia, lapor siaran televisyen semalam, dengan beberapa kedai dipecah masuk dan dibakar.

Mereka bertempur menggunakan bom buatan sendiri, pistol dan batang besi di pekan yang terletak kira-kira 400 kilometer ke barat daya ibu negara ini, selepas khabar angin mengatakan hanya kabilah tertentu yang akan diberikan tawaran kerja di kompleks Fostat, Gafsa yang berhampiran.
Pasukan tentera dalam perjalanan untuk menghentikan pertempuran tersebut dan helikopter tentera dikerahkan ke pekan itu.
"Penduduk ketakutan. Kami berada dalam perang sebenar dan meminta lebih banyak bantuan keselamatan," kata seorang penduduk pekan itu, Ahmed Achouri kepada Reuters menerusi panggilan telefon.
Media tempatan sebelum itu melaporkan jumlah kematian seramai tujuh orang tetapi kemudiannya berkata, seramai 11 orang terbunuh dan lebih 100 yang lain cedera dalam keganasan tersebut.
Tunisia mencetuskan kebangkitan rakyat di beberapa negara Arab apabila protes besar-besaran yang dilancarkan memaksa pemimpin autokratik, Zine al-Abidine Ben Ali disingkirkan pada Januari lepas.
Sejak itu, barisan pemimpin baru negara itu berhempas pulas untuk mengembalikan keamanan.
Pihak berkuasa telah melanjutkan perintah berkurung pada waktu malam bermula dari pukul 4 petang (11 malam waktu Malaysia) hingga 6 pagi (1 tengah hari waktu Malaysia), lapor agensi berita tempatan, TAP.
Seorang lagi penduduk Metlaoui, Hedi Radaoui berkata, pihak keselamatan telah menahan puluhan orang dan merampas senjata api dan pisau. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: