Pages

Thursday, June 30, 2011

Taliban lakukan serangan berani mati di hotel Kabul



BANGUNAN Hotel Intercontinental terbakar setelah pertempuran tercetus antara tentera NATO dengan penyerang berani mati Taliban di Kabul, semalam. - REUTERS


KABUL 29 Jun - Sekurang-kurangnya 19 orang maut dalam serangan berani mati dan serangan lelaki bersenjata di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Hotel milik kerajaan itu menjadi tempat tinggal delegasi pegawai kerajaan Afghanistan yang menghadiri satu persidangan keselamatan selain tempat penganjuran kenduri kahwin ketika kejadian itu berlaku.

Ketua Polis Kabul, Ayub Salangi berkata, kebanyakan pekerja Hotel InterContinental merupakan mangsa terbunuh dalam kejadian itu.

Beliau berkata, tiga anggota polis turut cedera.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Siddiq Siddiqi berkata, komando Afghanistan yang disokong sebuah helikopter NATO dikerahkan ke hotel berkenaan berjaya mengawal keadaan selepas lima jam.

Beliau memberitahu, enam orang dipercayai terlibat dalam serangan berani mati itu.

''Mereka masih memeriksa keadaan dan kami bimbang angka kematian akan meningkat,'' katanya kepada AFP.

Antara mereka yang tinggal di hotel itu adalah pegawai kerajaan dari seluruh negara yang menghadiri persidangan penyerahan kuasa kepada pasukan keselamatan Afghanistan selepas tentera asing mula berundur pada bulan depan.

Seorang pekerja hotel dikenali sebagai Ezatullah berkata, dia bersembunyi dalam sebuah bilik di tingkat lima apabila serangan itu bermula semalam.

''Saya dengar bunyi tembakan dan kemudian dua letupan. Bilik tempat saya bersembunyi dipenuhi dengan asap, Ketika saya keluar, saya nampak darah dan kemudian polis membawa saya keluar dari bangunan hotel,'' katanya.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengaku bahawa kumpulan militan itu mendalangi serangan berkenaan. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: