Rang undang-undang yang dikemuka oleh Parti Hak Asasi Haiwan itu diluluskan Dewan Rakyat dengan 116 undi menyokong dan 30 undi membantah.
Ia bagaimanapun perlu diluluskan oleh Dewan Senat sebelum dapat dikuatkuasakan.
Rang itu menetapkan haiwan perlu dipengsankan sebelum disembelih, bertentangan dengan cara Islam dan Yahudi yang memerlukan haiwan berada dalam keadaan sedar.
Ketua parti itu, Cik Marianne Thieme, berkata cara penyembelihan dua agama itu memberi kesakitan tidak patut ke atas haiwan dan oleh itu perlu dibanteras walaupun ia tuntutan agama.
'Kebebasan beragama tidak boleh dilaksana tanpa sebarang had. Bagi kami, kebebasan agama tidak boleh diamalkan apabila wujud penderitaan haiwan ataupun manusia,' katanya.
Perkembangan itu mencetuskan bantahan oleh sekitar sejuta penduduk Islam dan 40,000 penduduk Yahudi di Belanda.
Ketua Rabai Belanda, Encik Binyomin Jacobs, berkata perbahasan itu mengimbas semula memori pahit bagi masyarakat Yahudi.
'Mereka yang telah melalui Perang Dunia Kedua akan ingat bahawa undang-undang pertama yang diluluskan pemimpin Jerman di Belanda ialah melarang cara penyembelihan Yahudi bagi haiwan.'
Seorang pemimpin Islam Belanda, Encik Uca Octay, berkata: 'Kami terpaksa mengimport daging halal dari negara-negara jiran atau mencari cara lain bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam setempat.'
Seperti di kebanyakan negara Kesatuan Eropah (EU), undang-undang Belanda menetapkan penyembelih haiwan mesti menggunakan kejutan elektrik bagi memastikan haiwan itu tidak sedar sebelum disembelih untuk mengurangkan kesakitan dan rasa takut.
Rang itu menyatakan badan agama boleh meneruskan cara penyembelihan mereka jika mereka dapat buktikan amalan itu tidak mendatangkan lebih kesakitan.
'Mustahil membuktikan perkara ini. Anda tidak boleh tanya haiwan apa mereka rasa selepas disembelih,' kata Encik Jacobs.
Imam Mahmud dari Masjid El Tawheed di Amsterdam pula berkata: 'Ini satu keputusan bermotif politik. Siapa yang berkuasa menetapkan satu-satu cara penyembelihan haiwan itu baik atau tidak?' - AP, Reuters.Cyberita Online Luar Negara
No comments:
Post a Comment