Pages

Thursday, June 30, 2011

Kempen guna internet halang konsert Shakira

pix_gal0
Penduduk Mesir bantah penyanyi kunjung Israel


KAHERAH: Sekumpulan penduduk Mesir melancarkan kempen melalui internet bagi menghalang penyanyi kelahiran Colombia, Shakira, daripada memasuki negara itu dan membatalkan konsertnya di Kaherah pada November, sebagai reaksi balas berikutan kunjungannya ke Israel seminggu lalu.
Sebilangan besar peminatnya di negara itu mengecam kunjungan Shakira ke Israel dan melawat kanak-kanak Yahudi di sebuah sekolah di Baitulmaqdis, tetapi tidak mempedulikan kanak-kanak Palestin yang menderita akibat penjajahan rejim Zionis.
Shakira juga ditegur berikutan lawatannya, kerana dia mempunyai darah kacukan Lubnan, sedangkan wujud permusuhan yang kuat di antara Lubnan dan Israel.

Laman web yang dihasilkan bagi kempen itu menyatakan serangan tidak ditujukan kepada Shakira sebagai seorang individu, sebaliknya bagi menunjukkan penolakan keras terhadap apa juga bentuk hubungan dengan Israel.

“Konsert Shakira tidak akan memberi sebarang kelebihan kepada Mesir, sebaliknya adalah lebih baik jika dia tidak mengadakan konsert itu,” kata seorang anggota penganjur kempen.

Penganjur kempen turut melahirkan kemarahan berikutan kesediaan Shakira menerima undangan daripada Presiden Israel Shimon Peres dan kenyataannya untuk membuka ‘lembaran baru’ dengan penduduk Israel.
“Kenyataan Shakira adalah mengejutkan dan kami menuntut agar dia diharamkan daripada memasuki Mesir untuk selama-lamanya,” kata anggota kumpulan penganjur itu.

Shakira melawat Israel bersama teman lelakinya, bintang bola sepak Barcelona, Gerard Pique dan menginap di sebuah hotel di Baitulmaqdis. – Agensi Berita Harian Online | Kempen guna internet halang konsert Shakira

No comments: