Pages

Thursday, June 30, 2011

21 terbunuh serangan hotel di Kabul


Foto
API dan asap kelihatan dari Hotel Intercontinental ketika pertempuran di antara NATO dan pejuang Taliban yang melancarkan serangan bunuh diri, semalam.
Komando Afghanistan dibantu helikopter NATO bertempur dengan 9 lelaki bersenjata
Foto
ASKAR asing meninggalkan Hotel Intercontinental selepas pasukan tentera berjaya mengawal keadaan di hotel berkenaan terhadap Taliban, semalam.


KABUL: Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh, apabila sembilan pejuang Taliban lengkap bersenjata, menyerbu sebuah hotel utama di Kabul, sebelum bertempur selama beberapa jam dengan anggota komando Afghanistan yang dibantu helikopter Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semalam.
Ketua Polis Kabul, Ayub Salangi berkata dalam kejadian itu, sembilan orang awam kebanyakannya pekerja hotel dan dua pegawai polis antara yang terbunuh manakala 18 yang lain cedera.
Beliau berkata, semua sembilan penyerang terbabit terbunuh selepas mereka menyerbu Hotel Intercontinental yang sering menerima tetamu daripada kalangan pegawai asing dan Afghanistan lewat kelmarin.

Saksi berkata, bunyi tembakan senjata api jelas kedengaran ketika kejadian, manakala sebahagian daripada bangunan hotel itu terbakar.

“Selepas beberapa letupan, penyerang memasuki hotel dan menuju ke dewan besar.

“Ada di antara mereka membawa pembesar suara yang membunyikan lagu perang Taliban dan menembak sesiapa saja yang mereka lihat kelibat mereka.
“Penghuni hotel di tingkat tiga dan dua melompat keluar untuk menyelamatkan diri,” kata seorang penyambut tetamu.

Hotel milik kerajaan yang dibina pada 1960-an itu tidak mempunyai kaitan dengan rangkaian Hotel Intercontinental antarabangsa, menempatkan delegasi yang menghadiri persidangan keselamatan Afghanistan, manakala satu majlis perkahwinan meriah sedang diadakan ketika serangan berlaku.

“Sembilan pengganas bersenjata menyerang hotel Intercontinental, kira-kira jam 11 malam tadi (waktu tempatan).

“Operasi berakhir kira-kira jam 3 pagi selepas semua pengganas dibunuh,” kata kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan.

Antara tetamu di hotel berkenaan termasuk pegawai kerajaan dari seluruh negara yang berada di Kabul bagi menghadiri persidangan mengenai penyerahan kuasa tentera asing kepada pasukan keselamatan Afghanistan.

Proses dijadual bermula bulan depan.

Penghuni hotel yang panik diminta bersembunyi di bilik masing-masing, selepas penyerang yang dipercayai memakai jaket kalis peluru, membawa mesingan dan pelancar roket, berjaya melepasi kawalan keselamatan.

Jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF), Mejar Tim James, berkata pihaknya menghantar sebuah helikopter selepas mendapat permintaan pihak berkuasa Afghanistan.

“Ia terbang rendah di bumbung hotel dan berlegar beberapa kali. Anggota kami dapat mengenal pasti dengan jelas sekumpulan pemisah yang bersenjata dan memakai jaket kalis peluru lalu melepaskan tembakan menggunakan senjata kecil.

“Kami mendapat laporan beberapa letupan berlaku mungkin berpunca daripada pemisah yang meletupkan bom di tubuh mereka atau tembakan yang dilepaskan dari helikopter,” katanya.

Sementara itu jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengaku kumpulan itu bertanggungjawab ke atas serangan yang dilakukan di hotel itu.

Beliau mendakwa militan berjaya menawan hotel dan membunuh 50 tetamu termasuk pegawai kerajaan dan asing, malah menahan 300 lagi sebagai tebusan.

Laporan itu bgagaimanapun tidak dapat disahkan. – AFP/Reuters

INFO
KRONOLOGI SERANGAN


  • Lima penyerang bersenjata dan empat pengebom bunuh diri menyerbu masuk Hotel Intercontinental.

  • Taliban mengaku terbabit dalam serangan nekad di tengah-tengah Kabul itu

  • Helikopter NATO menembak ke arah penyerang yang berada di bumbung hotel Intercontinental.

  • Semua sembilan penyerang terbunuh dalam operasi.
Berita Harian Online | 21 terbunuh serangan hotel di Kabul

No comments: