Pages

Monday, April 4, 2011

Tentera pemberontak terus asak anggota sokong Gaddafi

BREGA, Libya: Tentera pemberontak terus bertempur dengan tentera setia kepada pemimpin Libya Muammar Gaddafi di bandar minyak di timur ini semalam, ketika pesawat tempur Barat berlegar di ruang udara dan beberapa letupan kedengaran.
Perang saudara Libya yang tercetus lebih sebulan lalu berikutan bantahan rakyat yang mendesak persekitaran lebih demokratik, kini dijangka berlarutan lebih lama, walaupun serangan udara Barat banyak membantu pemberontak.
Kumpulan pemberontak semalam mengambil langkah untuk bertindak lebih berkesan dengan membentuk ‘pasukan krisis’ diketuai bekas menteri dalam negeri Libya yang dilantik panglima angkatan tentera pemberontak.

Di pinggir Brega, tahap disiplin di kalangan pasukan pemberontak jelas kelihatan berbanding pasukan sukarelawan yang dikerahkan beberapa kilometer di belakang barisan hadapan perang.

Pemberontak juga dilihat mengerah senjata berat di pinggir bandar minyak ini yang ditawan seketika oleh mereka kelmarin tetapi terpaksa berundur berikutan kehadiran penembak curi Gaddafi di tengah bandar.

“Kami kini dalam proses menyusun semula pasukan. Kami sudah membentuk briged pertama yang dianggotai oleh tentera Gaddafi yang berpaling tadah dan mereka yang sudah bersara,” kata bekas mejar tentera udara Jalid al-Libie.

Ditanya mengenai jumlah anggota briged itu beliau berkata ia tidak boleh didedahkan. “Apa yang lebih penting ialah mutu pasukan,” katanya.
Beliau berkata matlamat briged berkenaan ialah untuk mengukuhkan kedudukan dimenangi dan mendapat bantuan sukarelawan yang kurang terlatih untuk mempertahankan kedudukan berkenaan. – Reuters
Berita Harian Online | Tentera pemberontak terus asak anggota sokong Gaddafi

No comments: