Pages

Monday, April 4, 2011

Iran dikecam negara Teluk


Mesyuarat bincang tindakan Teheran


RIYADH: Menteri Luar negara Teluk mengadakan mesyuarat luar biasa di sini, semalam membincangkan campur tangan Iran dalam tunjuk perasaan yang meletus di beberapa negara Arab.
Mesyuarat berkenaan diadakan selepas Teheran memberi amaran kepada Arab Saudi bahawa ia ‘bermain api’ apabila menghantar pasukan tentera di negara jiran Bahrain yang mempunyai majoriti penduduk Syiah, manakala Kuwait mendakwa ia membongkar kumpulan pengintip Iran di negara Teluk itu.
Setiausaha agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Abdullatif al-Zayani mengecam tindakan Iran campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara Teluk, dengan menyatakan ‘ia mengancam keselamatan dan kestabilan negara di rantau itu.’

Khamis lalu, jawatankuasa hal ehwal luar dan keselamatan kebangsaan Parlimen Iran berkata: “Arab Saudi harus tahu agar tidak bermain api di rantau sensitif Teluk Parsi.”

Arab Saudi menyertai pasukan negara Teluk membantu Bahrain menangani tunjuk perasaan bulan lalu. Negara GCC lain yang turut menyertai pasukan itu ialah Kuwait, Oman, Qatar, dan Emiriah Arab Bersatu.

Penunjuk perasaan itu mendapat inspirasi bantahan di Tunisia dan Mesir yang berjaya menjatuhkan pemimpin kuku besi masing-masing. Tunjuk perasaan juga meletus di Oman.
Riyadh memberi amaran kepada Teheran Jumaat lalu agar tidak mencetuskan ketegangan di rantau itu dan mengecam Iran kerana gagal menghormati negara jiran.

Kuwait Khamis lalu berkata, ia akan mengusir diplomat Iran atas dakwaan terbabit dengan kumpulan pengintip yang didakwa berkerja untuk Teheran sejak pencerobohan Iraq pada 2003.

Menteri luar Emiriah Arab Bersatu, Abdullah bin Zayed Al-Nahayan, rakan sejawatnya dari Kuwait akan memberi taklimat kepada mesyuarat GCC itu berhubung dakwaan aktiviti pengintipan Iran.

“Sebarang tindakan terhadap Iran akan diambil secara bersama selepas kajian mendalam dan perlu memberi pertimbangan kepada keselamatan dan kestabilan rantau GCC,” katanya. – AFP
Berita Harian Online | Iran dikecam negara Teluk

No comments: