Pages

Thursday, March 31, 2011

Britain akan bekal senjata kepada pemberontak




PEJUANG pemberontak bergegas menaiki trak ketika berundur dari serangan meriam tentera Gaddafi di antara bandar Ajdabiyah dan Brega.


LONDON - Perdana Menteri Britain, David Cameron semalam tidak menolak rancangan untuk melengkapkan pihak pemberontak yang memerangi tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dengan senjata.
"Britain tidak menolaknya, tetapi kami juga belum memutuskan untuk melaksanakan rancangan itu," kata Cameron kepada Parlimen Britain ketika disoal tentang dasar Britain mengenai isu tersebut di sebalik sekatan senjata yang dikenakan ke atas Libya oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Cameron, resolusi PBB, termasuk penguatkuasaan zon larangan terbang dan sekatan senjata ke atas Libya, tidak membabitkan operasi membekalkan senjata kepada pemberontak yang memerangi rejim Gaddafi.
"Peraturan PBB jelas, sekatan senjata itu melibatkan semua wilayah Libya," kata Cameron
"Namun, pada masa yang sama, Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSCR) 1973 membenarkan semua bentuk tindakan bagi melindungi orang awam dan kawasan penduduk awam. Kami berpendapat, bantuan senjata perlu untuk membantu mereka (pemberontak) melindungi orang awam Libya dalam situasi sekarang," tambahnya.
Pendirian Cameron itu senada dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang menimbang untuk membekalkan senjata kepada pemberontak Libya.
Setakat ini, Perancis turut menyokong rancangan itu tetapi ia ditentang oleh Rusia.
Sementara itu, pihak pemberontak Libya terus berundur semalam apabila mereka dibedil meriam tentera Gaddafi, sekali gus menunjukkan bahawa mereka lemah tanpa serangan udara Barat.
Pengunduran mendadak itu berlaku dua hari selepas tentera pemberontak mara di sepanjang jalan raya pesisir pantai barat Libya untuk memburu tentera Gaddafi.
Tentera pemimpin Libya berusia 68 tahun itu berundur dari bandar Ajdabiyah selepas deretan kereta kebal dan artileri mereka musnah dalam serangan udara Barat selama lima hari.
Mereka kemudian menyerang hendap konvoi pemberontak di luar bandar pemimpin itu, Sirte manakala bandar Nawfaliyah, Bin Jawad dan Ras Lanuf turut jatuh dalam serangan balas tentera Gaddafi.
"Kami hanya memiliki raifal dan mesingan. Kami tidak berdaya menentang meriam serta trak pelancar roket Gaddafi," kata seorang pejuang pemberontak. - Agensi
-kosmo

No comments: