Pages

Thursday, March 31, 2011

Junta tentera Myanmar dibubar



GAMBAR yang dipetik daripada rakaman televisyen kerajaan Myanmar, MRTV menunjukkan majlis angkat sumpah Thein Sein sebagai presiden republik tersebut di Parlimen di ibu negara barunya, Naypyidaw, semalam. – AFP


YANGON 30 Mac – Junta tentera Myanmar yang memegang kuasa selama hampir 50 tahun dibubarkan hari ini sejurus selepas menyerahkan kuasa kepada sebuah kerajaan awam.
Junta yang dikenali dengan nama rasminya Majlis Keamanan dan Pembangunan Negara (SPDC) ‘telah dibubarkan secara rasmi’, lapor televisyen kerajaan dengan memetik arahan yang ditandatangani oleh Jeneral Kanan Than Shwe.
Than Shwe yang menjalankan pemerintahan autoritarian sejak 1992 disebut hanya sebagai ‘Pengerusi SDPC’ dalam laporan itu dan beliau dipercayai telah digantikan sebagai ketua komander tentera.
SPDC, sebelum ini dikenali sebagai Majlis Pemulihan Undang-Undang dan Ketenteraman Negara (SLORC) merampas kuasa pada 1988, tetapi Myanmar diperintah oleh junta tentera sejak 1962.
Pengumuman bersejarah mengenai pembubaran junta itu dibuat selepas seorang pegawai berkata, seorang ketua tentera baru menghadiri majlis angkat sumpah sekutu rapat Than Shwe, Thein Sein sebagai Presiden Myanmar.
Jeneral Min Aung Hlaing hadir pada majlis angkat sumpah itu selaku Ketua Komander Angkatan Bersenjata negara ini, iaitu jawatan yang sebelum ini dipegang oleh Than Shwe.
Than Shwe dijadual bersara daripada angkatan bersenjata tetapi akan terus memainkan pengaruh besar di sebalik tabir memandangkan ramai sekutunya kini menduduki jawatan utama dalam kerajaan baru.
Turut mengangkat sumpah pada majlis di ibu negara baru, Naypyidaw tersebut ialah kedua-dua Naib Presiden, Tin Aung Myint Ooo dan Sai Mauk Kham serta anggota Kabinet yang lain.
“Semua sekali 58 anggota baru Kabinet termasuk Presiden, dua Naib Presiden, menteri dan pegawai mengangkat sumpah pagi ini di Parlimen Kesatuan di Naypyidaw,” kata seorang pegawai.
Parti yang disokong junta, Parti Perpaduan dan Pembangunan Kesatuan (USDP) memenangi majoriti kerusi pada pilihan raya November lalu, dengan menguasai 388 daripada 493 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi tidak mempunyai suara di Parlimen baru, kerana partinya, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) dibubarkan kerana memilih untuk memboikot pilihan raya. – AFP

1 comment:

mcm ni lah said...

bagus le tu,. tentera kejam sangat