Pages

Thursday, March 31, 2011

Jepun cadang tutup loji nuklear dengan kain khas


SENDAI 30 Mac - Jepun hari ini menimbangkan rancangan untuk menyelubungi bangunan-bangunan reaktor nuklear yang rosak di Fukushima dengan kain penutup khas bagi membendung radiasi, dan mengepam air radioaktif ke dalam sebuah kapal tangki yang berlabuh di luar pesisir.

Pihak berkuasa belum dapat menstabilkan keadaan di loji nuklear yang terlampau panas dan mengeluarkan radiasi itu.
Segala kemungkinan sedang dipertimbangkan dalam usaha Jepun untuk menyelesaikan krisis nuklear terburuk di dunia sejak malapetaka Chernobyl 25 tahun lalu, kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano hari ini.
Langkah itu termasuk menyelubungi tiga bangunan reaktor yang rosak teruk dengan kain penutup khas dan memasang penapis udara untuk membataskan radiasi, lapor akhbar Asahi Shimbun.
Satu lagi rancangan ialah menempatkan sebuah kapal tangki kosong di perairan dekat reaktor No. 2, supaya pekerja boleh mengepam air radioaktif menyamai kapasiti beberapa kolam renang Olimpik ke dalam badan kapal.
"Kami berada dalam situasi luar biasa, kerana itu kami perlu memikirkan pelbagai strategi, selain yang biasa kami fikirkan," kata seorang pegawai agensi keselamatan nuklear.
Kerajaan turut mengarahkan langkah keselamatan ditingkatkan segera di kesemua 55 loji tenaga nuklear di negara ini.
Arahan itu menandakan pengakuan pertama kerajaan bahawa piawai keselamatan tidak memadai apabila gempa bumi dan tsunami merosakkan kompleks nuklear di Fukushima hampir tiga minggu lalu.
Sementara itu kebocoran radiasi terus dikesan di sekitar loji tersebut, dengan bacaan menunjukkan iodin radioaktif di laut berhampiran pada tahap 3,355 kali paras dibenarkan. - AFP/Reuters

No comments: