Sunday, December 5, 2010
Untuk siapa gelaran ulama?
Nawawi Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com
PERKATAAN ulama di sisi kita bukanlah suatu yang asing. Gelaran ulama dalam kalangan masyarakat kita hari ini banyak diguna untuk penjenamaan tertentu seperti kepimpinan ulama, ulama tradisional, persatuan ulama, dewan ulama, ulama muda, dan yang seumpamanya. Sejauh manakah kefahaman kita terhadap kalimat “ulama” dan siapakah sebenarnya yang tepat untuk dimaksudkan sebagai ulama? Lebih tidak enak, sejak akhir-akhir ini nampak seakan-akan begitu mudah meletakkan gelaran ulama kepada sesiapa sahaja dalam rangka meraih populariti, publisiti dan tujuan yang amat meragukan.
Ketika era para sahabat, Khalifah Ali r.a pernah mengerahkan tentera memerangi sekumpulan manusia (Khawarij) - mereka yang diperangi ini memiliki sifat tekun beribadah seperti rajin solat malam, selalu berpuasa, dan begitu hebat bacaan al-Qurannya. Disebutkan juga riwayat sahih tentang ibadah-ibadah yang mereka lakukan adalah jauh lebih hebat mengatasi ibadah para sahabat. Namun, kumpulan manusia tersebut tetap diperangi dan dihapuskan atas beberapa sebab kritikal, iaitu menyelisihi manhaj para sahabat dalam memahami agama dan berpisah dari ketaatan terhadap pemerintah (menjadi pemberontak). Ini menunjukkan bahawa tekun dalam ibadah belum menjamin seseorang itu berada dalam kebenaran, apatah lagi untuk meletakkannya dalam barisan alim ulama.
Pernahkah pula kita menekuni kisah imam Malik bin Anas, imam Ahmad bin Hanbal, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, dan beberapa ulama lainnya yang berfatwa dari dalam penjara? Jika kita perhatikan dari kisah mereka, bukankah ia juga dapat menterjemahkan bahawa kriteria seseorang ulama itu bukanlah semestinya mereka berada di dalam barisan Majlis Fatwa Negara, Dewan Ulama, atau pun menyandang jawatan-jawatan khas hal ehwal agama tertentu di dalam negaranya. Bahkan pernah berlaku pada zaman mereka ini orang-orang yang menyandang jawatan keagamaan adalah kalangan sesat berfahaman Jahmiyah dan Muktazilah yang menyelewengkan begitu banyak perkara agama.
Dari itu, apakah kriteria yang tepat untuk menunjukkan seseorang itu layak dipanggil atau digelar ulama, sekali gus tidaklah setiap pihak atau individu tertentu bermudah-mudah untuk memanipulasi dan mengeksploitasi perkataan “ulama”?
Kriteria seseorang ulama yang utama adalah paling takut dan taat kepada Allah, disebabkan mereka sangat mengenali Allah SWT, nama-nama-Nya, dan sifat-sifat-Nya berdasarkan ilmu yang benar. Allah SWT berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya daripada kalangan hamba Allah yang paling takut (tunduk) kepada-Nya ialah para ulama (orang-orang berilmu).” (Surah Fathir, 35: 28)
Dari ayat di atas, Ibnu r.a menyatakan, “Syarat bagi seseorang untuk dikatakan sebagai alim (berilmu) tentang Allah yang Maha Pengasih di antara hamba-hamba-Nya ialah tidak mensyirikkan Allah, menghalalkan dan mengharamkan sebagaimana ditetapkan Allah, menjaga dan memelihara tuntutan dan kehendak Allah, meyakini bahawa Allah akan menemuinya dan menghisap amal perbuatannya.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/544)
Keduanya, ulama itu mewarisi dan menyampaikan apa yang disampaikan Nabi SAW berupa al-Quran, hadis-hadis dan sunnahnya berserta kefahaman yang benar (faqih). Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya para ulama itu ialah pewaris para Nabi. Para Nabi itu tidaklah mewariskan dinar mahu pun dirham, namun mewariskan ilmu. Maka, sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, benar-benar dia telah mendapat bahagian sangat besar.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 49/10, no. 3157. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Berkata Ibnu Hibban r.a (Wafat: 354H), “Dalam hadis ini terdapat penjelasan bahawa ulama yang memiliki keutamaan ialah mereka yang mengajarkan ilmu Nabi SAW sahaja, bukan yang mengajarkan ilmu-ilmu lain. Bukankah Nabi SAW bersabda, “Ulama adalah pewaris para nabi” dan para nabi tidak mewariskan apa pun melainkan ilmu dan ilmu Nabi kita SAW adalah sunnahnya. Sesiapa pun yang tidak mengetahui sunnah, maka bukanlah pewaris para nabi.” (Shohih Ibnu Hibban, 1/291, tahqiq Syua’ib al-Arna’uth)
Ilmu di sini adalah meliputi sehingga kepada seluruh cabang-cabang ilmu dalam agama, sama ada aqidah, hadis, tafsir, fiqh, atsar para sahabat dan termasuklah penguasaan bahasa (bahasa Arab). Dan ilmu tersebut dibawa pula orang-orang yang dipercayai sebagaimana sabda Rasulullah, “Ilmu agama ini akan terus dibawa oleh orang-orang yang adil (dipercayai dan bukan fasiq) dari generasi ke generasi, yang selalu berjuang membersihkan agama dari penyelewengan maksud-maksud agama, pendustaan orang-orang sesat yang mempergunakan nama agama, dan pentakwilan agama yang salah dilakukan orang-orang jahil.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi. Dinilai sahih oleh al-Albani, Misykah al-Mashabih, 1/53, no. 248)
Seterusnya, ulama memiliki ilmu yang mendalam terhadap agama dan mampu menganalisis serta merungkaikan kepelbagaian persoalan agama dan ilmu-ilmunya. Allah SWT berfirman, “Dan itulah contoh-contoh kami buat untuk manusia, dan tiada yang memahaminya melainkan orang-orang berilmu.” (Surah al-Ankabut, 29: 43)
Abu Qasim al-Ashbahani r.a (Wafat: 425H) memberitahu kepada kita, “Bahawasanya ahli kalam (golongan pemikir atau ahli falsafah) tidaklah termasuk ulama. Para ulama Salaf (terdahulu) berkata, “Seseorang tidak boleh menjadi imam di dalam agama sehingga dia memiliki kriteria berikut:
1. Memahami bahasa Arab, termasuk menguasai makna-makna syair Arab
2. Memahami perbezaan pendapat di antara para ulama atau ahli fiqh
3. Seorang yang berilmu
4. Mengerti tentang i'rab (tatabahasa Arab dari kata per kata)
5. Memahami al-Quran berserta bacaan-bacaannya dan perbezaan di antara para qurra’ (para periwayat bacaan al-Quran)
6. Menguasai tafsir, sama ada berkaitan ayat-ayat muhkam (yang jelas) atau mutasyabihat (yang samar-samar), yang nasikh (yang memansuhkan) mahu pun yang mansukh (yang dimansuhkan) serta pelbagai kisah di dalamnya
7. Memahami hadis-hadis Rasulullah SAW, dapat membezakan di antara yang sahih dan sebaliknya, bersambung atau pun terputus, hadis-hadis mursal dan sanad-sanadnya, yang masyhur, dan gharib.
8. Mengetahui perkataan-perkataan (atsar) para sahabat r.a
9. Kemudian dia wajib warak, menjaga diri, jujur, boleh dipercayai, membina (mengeluarkan) pendapat dan agamanya berpandukan Kitabullah dan sunnah Rasul-Nya”.” (Tsaqil Shalfiq al-Qasimi, Sallus Suyuf wal Asinnah ‘ala Ahlil Hawa wa Adiya’ as-Sunnah, m/s. 85-86. Terjemahan/Terbitan Pustaka as-Sunnah)
Dengan ilmu tersebutlah kemudiannya orang-orang yang berilmu dari kalangan ulama ini menegakkan tauhid dan menegakkan keadilan (al-haq), iaitu dengan tidak menyembunyikan ilmu serta sentiasa menyebarkan kebenaran dengan cara mengajar, menerapkan nilai-nilai agama, mengajak kepada kebaikan, dan melarang manusia dari segala bentuk kemungkaran di atas prinsip-prinsipnya.
“Allah menyatakan, tiada Tuhan berhak disembah melainkan Dia, yang menegakkan keadilan. Para Malaikat dan orang-orang berilmu (juga menyatakan yang demikian).” (Surah Ali ‘Imran, 3: 18)
Terakhir, dengan kriteria dan keilmuan tersebutlah masyarakat menjadikan mereka sebagai tempat rujukan sebagaimana diperintahkan Allah SWT agar kita sentiasa merujuk kepada orang yang mengetahui (berilmu). Allah SWT berfirman, “Bertanyalah kamu kepada ahluz zikri (orang yang berilmu iaitu dari kalangan ulama) apabila kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl, 16: 43)
Ibnu Qutaibah r.a (Wafat: 276H) berkata, “Sekiranya masalah rumit di antara kedua perkara tersebut dikembalikan kepada orang berilmu yang memahami al-Quran dan as-Sunnah, maka jelaslah bagi mereka manhaj tersebut dan jalan keluarnya pun menjadi luas, tetapi ada sesuatu yang menghalang mereka, iaitu sibuk mencari kekuasaan, suka mengikut keyakinan dan perkataan-perkataan saudara-saudaranya.” (Sallus Suyuf wal Asinnah, m/s. 83)
Demikianlah kriteria-kriteria dari beberapa sumber rujukan berkenaan ciri-ciri ulama agar kita tidak bermudah-mudah menobatkan seseorang sebagai ulama atau mengangkat perkataan sesiapa sahaja atas tiket gelaran ulama tanpa asas tepat. Bahkan kitalah yang perlu bersama-sama duduk bersimpuh menuntut ilmu kepada para ulama yang memiliki ciri-ciri pewaris Nabi serta berhati-hati kepada sesiapa sahaja yang sering mendabik dada dirinya adalah ulama, terutamanya dalam rangka meraih populariti politik demokrasi. Sedangkan Imam Malik r.a (Wafat: 179H) seorang tokoh dan bintang kepada para ulama dengan tegas berkata, “Aku tidak berfatwa sehinggalah 70 orang (ulama) mengakui bahawa aku layak berfatwa.” (Siyar A’lam an-Nubala’, 8/96)
Labels:
ulama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment