Pages

Sunday, December 5, 2010

Kahwin ramai-ramai boleh kurangkan masalah buang bayi

250 pasangan pengantin dirai
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/12/05

    PASANGAN pengantin bergambar pada majlis meraikan pasangan pengantin   secara beramai-ramai   di Masjid  Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.
PASANGAN pengantin bergambar pada majlis meraikan pasangan pengantin secara beramai-ramai di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.
Program anjuran JAWI dapat sambutan 

KUALA LUMPUR: Seramai 250 pasangan suami isteri diraikan dalam Majlis Meraikan Pengantin 1Malaysia Secara Beramai-ramai Wilayah Persekutuan 2010 anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini, semalam.Pasangan mempelai yang diraikan itu membabitkan 228 pasangan Melayu, 18 pasangan Melayu yang berkahwin dengan saudara baru manakala empat pasangan lagi kedua-duanya saudara baru. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata program itu yang dilancarkan sejak 2005 mendapat sambutan cukup menggalakkan.

“Ini adalah sebahagian daripada 26 skim Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membantu golongan yang termasuk dalam asnaf fakir dan miskin. 

“Program ini juga membolehkan pasangan pengantin muda berasa ada pihak yang prihatin dengan mereka dan rasa didekati,” katanya ketika merasmikan majlis itu di sini, semalam. 

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim; Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che Ali; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh. 
Beberapa syarat ditetapkan bagi pasangan yang ingin menyertai program ini seperti rakyat Malaysia; salah seorang mesti menetap di Kuala Lumpur atau Putrajaya; perkahwinan kali pertama kecuali saudara baru dan termasuk dalam golongan asnaf fakir atau miskin serta memiliki pendapatan isi rumah suami isteri sebanyak RM2,400 atau kurang setiap bulan. 

Pasangan pengantin yang diraikan itu juga menerima sagu hati sebanyak RM500 setiap seorang dan persalinan yang dipakai pada majlis itu. 

Pasangan pengantin saudara baru yang ditemui, Muhammad Shafi Abdullah, 35 dan isteri, Nur Shafirah Rajasingam, 32, menyambut baik majlis itu yang dianggap banyak membantu pasangan pengantin baru melengkapkan kehidupan berumah tangga. 

Muhammad Shafi dan Nur Shafirah, yang menganut agama Hindu sebelum ini, berkahwin mengikut adat agama itu tetapi berpisah selepas Muhammad Shafi menganut Islam pada 2006. 

Bagaimanapun, mereka dinikahkan semula secara Islam pada hari Nur Shafirah memeluk Islam, Julai lalu.

No comments: